am@hmetro.com.my
Baca juga: Ajai gesa artis kuasai ilmu perniagaan, bukan harap bakat semata-mata
Kota Bharu: Wajah anak kelihatan berseri-seri dan tak puas dipandang antara kenangan akhir ibu anggota polis yang maut dalam kemalangan berhampiran Jambatan Pulau Melaka, petang semalam.
Hamidah Mohamed, 63 berkata, anaknya, Koperal Muhammad Alimi Kamarudin, 35 tahun sempat balik ke rumahnya di Kampung Dendang, Jalan Bechah Hangus, Ketereh di sini sehari sebelum kejadian meragut nyawa anak ketiganya itu.
Katanya, arwah tinggal di Bukit Marak membuat kejutan dengan balik ke rumah keluarga tanpa memberitahunya terlebih dahulu.
“Ketika itu, mama tengok wajah dia nampak lain daripada biasa, berseri-seri, tak puas dipandang, tapi mama cuma simpan dalam hati.
“Dia memang ada kunci rumah ini, mama terkejut bila dia balik, dia anak yang rajin malah sempat membersihkan rumah dan membuang sampah, tak sangka itu kenangan akhir kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Dendang, Jalan Bechah Hangus, Ketereh, di sini, hari ini.
Terdahulu, jenazah anggota polis yang bertugas di Bahagian Logistik Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Politeknik Kok Lanas jam 10.00 pagi tadi.
Katanya, dia menasihati menantu, Fatin Khalidah Adilah i Zainuddin untuk tabah dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT atas ujian yang mereka hadapi.
“Mama nasihatkan menantu (Fatin) untuk sabar dan jangan bergantung pada orang, bergantung pada Allah SWT, sebab mama sudah hadapi kehilangan tiga lelaki dalam hidup mama secara mengejut iaitu arwah adik Abang Chik (arwah Koperal Muhammad Alimi) ketika usia lima tahun, dihempap papan tanda, arwah abah dia (suami mama) akibat serangan jantung dan kini hilang anak ketiga dalam kemalangan, jadi kena kuatkan semangat dan redha dengan takdir Allah,” katanya.
Rakan baik arwah, Lans Koperal Ahmad Luqman Hakim Husin yang bertugas bahagian sama di IPD Tumpat turut menyifatkan pemergian Muhammad Alimi sebagai kehilangan besar kepada pasukan polis kerana kecekapan dan kerajinan arwah sepanjang bergelar anggota polis Bahagian Logistik Persenjataan.
Katanya, arwah juga murah senyuman dan disenangi ramai sehingga ramai anggota polis pelbagai pangkat hadir memberikan penghormatan akhir buat arwah.
Terdahulu, anggota polis itu maut ketika mahu pulang ke rumah selepas selesai bertugas di IPD Kota Bharu di Pengkalan Chepa, motosikal dinaiki hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan bergesel bahagian sisi hadapan kanan kereta jenis Proton X70 ketika melalui jalan berhampiran Jambatan Pulau Melaka, jam 4.45 petang.
Mangsa terjatuh atas jalan dan mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd