LATEST

PM dedah pegawai, juruterbang TUDM terbabit penyeludupan dadah

PM dedah pegawai, juruterbang TUDM terbabit penyeludupan dadah

am@hmetro.com.my

Baca juga: Pelancong antarabangsa kini boleh bayar guna Visa, DuitNow QR

Shenzhen: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk juruterbang, terbabit dalam kes penyeludupan dadah membabitkan jumlah yang besar.

Beliau berkata, kes berkenaan amat membimbangkan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit tanpa mengira pangkat.

Bercakap pada sidang media penutup di sini, Anwar berkata pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan mereka.

“Saya menyatakan perkara ini pada sidang media ini kerana tidak mahu mana-mana pihak beranggapan bahawa kita sengaja melengah-lengahkan tindakan,” katanya.

Anwar memaklumkan antara yang terbabit termasuk pegawai berpangkat leftenan dan kapten, selain juruterbang.

“Bagaimana kita boleh mengharapkan negara ini selamat jika kita membiarkan perkara ini berlaku?

“Ini membabitkan pasukan keselamatan. Ibarat ‘harapkan pagar, pagar makan padi’,” katanya merujuk kepada peribahasa Melayu mengenai pihak yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan tetapi mengkhianati kepercayaan itu.

Anwar berkata, beliau sudah membincangkan perkara itu bersama Ketua Polis Negara, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, semua pihak bersetuju bahawa tiada sebarang kompromi dalam mengambil tindakan.

“Ini bukan soal menjaga imej mana-mana jabatan,” katanya sambil menambah bahawa pihak polis wajar diberi ruang untuk melengkapkan siasatan.

Anwar berkata, kerajaan juga sudah mengambil tindakan terhadap kumpulan terancang yang terbabit dalam pengedaran dadah dan penyalahgunaan sistem kewangan, dengan lebih 100 individu ditahan di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) manakala aset bernilai berbilion ringgit disita atau dibekukan.

Beliau berkata, tindakan sedemikian membuktikan keseriusan kerajaan dalam membanteras penyeludupan dadah serta aktiviti jenayah berkaitan.

“Negara tidak boleh membiarkan salah laku seperti ini berterusan, sama ada ia membabitkan golongan di peringkat tertinggi, penjawat awam mahupun anggota penguat kuasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news