KUALA LUMPUR: Harapan tinggi yang diletakkan peminat dan sokongan luar biasa diterima sepanjang menyertai Eurovision Song Contest Asia 2026 rupa-rupanya memberi tekanan emosi kepada penyanyi Aina Abdul.
Baca juga: TCMex 2026 Di MITEC, Pameran Perubatan Tradisional Dan Teknologi Kesihatan
Aina, 33, mengakui tidak pernah berdepan pengalaman menerima sokongan sebesar itu sepanjang bergelar anak seni, sekali gus membuatkan dirinya sukar menyesuaikan diri dengan perhatian dan harapan ramai pihak.
Aina yang mempertaruhkan lagu Bluest Sky, hasil nukilannya bersama komposer, Mac Chew berkata, ucapan semangat serta doa diterima daripada orang ramai adalah sesuatu yang masih janggal baginya.
Katanya, sokongan dalam pelbagai bentuk itu menimbulkan perasaan takut kerana dia sedar ramai mengharapkan sesuatu yang membanggakan daripada penyertaannya.
“Saya sebenarnya takut apabila melihat terlalu ramai yang memberikan sokongan kerana perkara itu secara tidak langsung menjadi tekanan buat saya.
“Sepanjang hidup, saya tidak pernah menerima sokongan sebegitu rupa. Ramai orang menulis ucapan ‘good luck’ kepada saya dan saya tidak pernah melalui pengalaman seperti itu sebelum ini.
“Jadi, saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan situasi berkenaan. Ia agak membebankan emosi saya kerana terasa seperti semua orang mengharapkan sesuatu daripada saya,” katanya.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena pembabitannya menerusi Eurovision Song Contest Asia 2026 di Balai Berita Bangsar, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Aina tetap menghargai setiap sokongan yang diberikan, malah menganggapnya sebagai doa dan tanda keprihatinan rakan-rakan selebriti yang memahami tekanan dihadapi seorang peserta pertandingan.
Katanya, pengalaman rakan artis senior yang pernah menyertai pertandingan seumpama itu membolehkan mereka memahami perasaan serta cabaran yang sedang dilaluinya.
“Bagaimanapun, saya menganggap sokongan itu sebagai doa daripada rakan-rakan artis.
“Saya percaya mereka juga pernah melalui pengalaman seperti yang saya rasakan, terutama rakan artis senior yang pernah menyertai pertandingan seperti ini. Jadi, mereka tahu bagaimana perasaan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Aina turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan ucapan sokongan kepadanya menjelang pertandingan berkenaan.
Aina mengakui tidak menyangka Perdana Menteri turut meluangkan masa memberikan kata-kata semangat, apatah lagi menyedari banyak urusan negara yang perlu diberikan perhatian.
“Saya sendiri tertanya-tanya sama ada perkara itu benar-benar berlaku kerana tidak sangka beliau turut memberikan ucapan sokongan kepada saya. Saya terfikir, banyak lagi perkara yang perlu diberikan perhatian oleh beliau.
“Saya juga sedikit bimbang kerana peminat terlalu mendesak sehingga Perdana Menteri mungkin terpaksa menyampaikan ucapan itu. Namun, apa pun, terima kasih banyak-banyak atas sokongan diberikan,” katanya.
Mengulas pencapaian di pentas pertandingan itu, Aina berharap penyertaan serta keputusan diraih mampu membanggakan seluruh rakyat Malaysia meskipun gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik.
Katanya, kedudukan yang diraih tidak terlalu jauh daripada kelompok tiga teratas dan berharap pencapaian itu tetap menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Saya berharap keputusan ini dapat membanggakan semua pihak.
“Walaupun mungkin kita tidak berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik, kedudukan kita sebenarnya tidak jauh daripada kelompok itu, insya-Allah,” katanya.
Menerusi edisi sulung Eurovision Song Contest Asia itu, Aina mengumpul 152 markah sekali gus menduduki tangga keempat daripada 11 peserta yang bertanding.
Penyanyi Filipina, Carmelle muncul juara menerusi lagu Sobra-Sobra selepas meraih 211 markah, manakala wakil tuan rumah, duo MANG x DAOU, berada di tempat kedua dengan 170 markah.
Penyanyi Vietnam, Tóc Tiên pula menduduki tempat ketiga selepas mengumpul 164 markah.
Aina dipilih mewakili Malaysia ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40 pada 15 Ogos lalu, sekali gus membuka peluang buat penyanyi itu membawa karya tempatan ke pentas antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd