am@hmetro.com.my
Baca juga: Myanmar lakukan genosid terhadap etnik Rohingya – ICJ
Shenzhen: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana anggota Kabinet yang melanggar tatasusila dengan menggunakan bahasa atau melakukan tindakan tidak wajar terhadap anggota Kabinet lain atau kerajaan, perlu meletakkan jawatan.
Merujuk kepada keterlanjuran kata-kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan di Dewan Rakyat, Anwar berkata, beliau memahami ketegangan politik yang memuncak, khususnya ketika kempen pilihan raya, boleh menyebabkan seseorang menggunakan bahasa tidak sesuai.
Bagaimanapun, katanya, perlakuan sedemikian tidak sepatutnya dibawa ke dalam urusan rasmi kerajaan.
“Jika ada pihak yang melanggar prinsip ini pada masa depan, mereka perlu meletakkan jawatan atau dinasihatkan supaya berbuat demikian kerana sistem kita tidak boleh berfungsi dengan cara itu.
“Jika terdapat perbezaan pendapat, perkara itu boleh dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Jika sesuatu keputusan perlu diubah, ia boleh dibawa ke saluran sewajarnya,” katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menerima permohonan maaf Ahmad berhubung keterlanjuran berkenaan.
“Dalam kes ini, saya berterima kasih kepadanya dan menghargai semangat positif yang ditunjukkannya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026, di sini, hari ini.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menangani perkara itu bagi memastikan tatasusila dalam pentadbiran kerajaan serta sikap saling menghormati antara anggota Kabinet terus dipelihara.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, memohon maaf kepada Perdana Menteri kerana menggunakan perkataan “kencing” dalam pantun ketika sesi penggulungan perbahasan kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Menerusi surat bertarikh 17 November, Ahmad mengakui pemilihan perkataan dalam pantun yang dibacakannya itu tidak sesuai bagi seseorang yang berada dalam pentadbiran kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd