LATEST
National

Bomba lakukan penerbangan khas bawa organ Allahyarham Muhammad Aidil dari Kota Bharu ke Subang

Bomba lakukan penerbangan khas bawa organ Allahyarham Muhammad Aidil dari Kota Bharu ke Subang

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan khas untuk pemindahan perubatan (MEDEVAC) bagi menghantar organ Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, dari Kota Bharu ke Subang.

Baca juga: Saham khas bukan satu-satunya jaminan dwirangkaian 5G negara

Penerbangan menggunakan helikopter AW139 diketuai Timbalan Penguasa Bomba, Ahmad Fissol Ismail bersama tiga kru udara.

Bahagian Udara JBPM menerusi Facebook memaklumkan, penerbangan membawa organ penderma iaitu hati, buah pinggang, mata dan tulang yang diperoleh daripada penderma berusia 23 tahun di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Ia memaklumkan, penerbangan turut disertai dua doktor perubatan dari HPUSM yang membawa organ berkenaan, seterusnya menuju Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur dan Hospital Selayang menggunakan ambulans.

Jabatan itu berkata, helikopter berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Utara jam 7.25 pagi sebelum mendarat di Lapangan Terbang Kota Bharu pada jam 8.55 pagi.

Katanya, pesawat itu kemudian berlepas semula pada jam 9.03 pagi dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Subang pada jam 10.42 pagi.

“Penerbangan dilaksanakan dengan jaya dan selamat walaupun keadaan cuaca mendung dan awan rendah serta hujan renyai di beberapa kawasan laluan penerbangan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, suasana pilu menyelubungi HPUSM Kubang Kerian apabila kakitangan hospital memberi penghormatan terakhir kepada jenazah

Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, menerusi ‘Honor Walk’ awal pagi tadi.

Lampu hijau turut dipasang di bangunan hospital berkenaan sebagai tanda penghormatan dan simbolik proses pembedahan pendermaan organ.

Orang ramai dan kenalan turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Allahyarham dimasukkan ke HPUSM selepas mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan jalan raya, sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news