YOGYAKARTA: Sebuah mahkamah di Indonesia menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang pengetua taska kerana mendera kanak-kanak dan bayi secara fizikal di premisnya di Yogyakarta, dalam kes yang mencetuskan kemarahan seluruh negara.
Anita Palupi Indahsari ditahan pada April lalu bersama 11 pekerja pusat jagaan dan ketua yayasan yang mengendalikan pusat berkenaan selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar di media sosial menunjukkan beberapa kanak-kanak terbaring di atas lantai hanya memakai lampin, dengan tangan dan kaki diikat menggunakan kain buruk.
Baca juga: Penerbangan khas Bomba terbangkan organ Muhammad Aidil ke Subang
Hakim Mahkamah Yogyakarta, Sunaryanto memutuskan Anita terbukti secara sah bersalah atas kesalahan pengabaian kanak-kanak, mengendalikan pusat pendidikan tanpa permit serta membenarkan keganasan terhadap kanak-kanak dilakukan secara berterusan.
Sunaryanto turut memerintahkan Anita membayar denda sebanyak 510 juta rupiah (RM114,887) selain menjalani hukuman penjara.
Hukuman itu lebih ringan berbanding penjara 10 tahun yang dituntut pihak pendakwaan.
Seorang ibu yang hadir di mahkamah, Tri Susilawati memberitahu pemberita, hukuman itu tidak setimpal dengan apa yang mereka lakukan terhadap anak-anaknya.
Beliau berharap pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Bulan lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun terhadap 11 pekerja pusat jagaan itu yang kesemuanya wanita.
Rakaman keadaan di pusat berkenaan mencetuskan skandal awam sehingga premis itu ditutup tidak lama kemudian.
Polis berkata, pihaknya menemui 20 kanak-kanak ditempatkan dalam sebuah bilik berukuran hanya tiga meter panjang dan tiga meter lebar.
Polis menganggarkan lebih separuh daripada kira-kira 100 kanak-kanak di pusat jagaan itu menjadi mangsa penderaan.
Mereka turut mendakwa pusat jagaan itu kekurangan kakitangan sehingga tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk memandikan dan memakaikan pakaian kepada kanak-kanak berkenaan.-AFP
The post Pengetua taska dipenjara lima tahun dera kanak-kanak, ibu-bapa berang hukuman ringan appeared first on Utusan Malaysia.