LATEST

NRES perkukuh tadbir urus perubahan iklim menerusi empat inisiatif

NRES perkukuh tadbir urus perubahan iklim menerusi empat inisiatif

ANTALYA – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam terus memperkukuh tadbir urus perubahan iklim negara menerusi empat inisiatif bagi meningkatkan akauntabiliti, menggembleng pembiayaan iklim serta mempercepat peralihan kepada ekonomi rendah karbon.Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, ia merangkumi Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan, cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara, Laporan Ketelusan Dwitahunan serta Pelan Adaptasi Kebangsaan Malaysia (MyNAP).Menurutnya, langkah itu bertujuan memperkukuh komitmen negara dalam menangani perubahan iklim menerusi pengukuhan dasar, pelaburan berterusan dan pelaksanaan yang terselaras merentas sektor ekonomi.”Langkah ini bertujuan memperkukuh akauntabiliti, menggembleng pembiayaan iklim serta mempercepat peralihan yang adil dan inklusif ke arah ekonomi rendah karbon yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim,” katanya.Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan menjunjung kasih sempena Majlis Penutupan Rasmi Pavilion Malaysia pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-31 (COP31) di sini, pada Khamis.Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan.Dalam pada itu, Arthur berkata, delegasi Malaysia turut memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam aspek daya tahan terhadap perubahan iklim, pembiayaan mampan dan pembangunan rendah karbon sepanjang dua minggu persidangan berkenaan.Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi rundingan pelbagai hala, mesyuarat dua hala serta sesi libat urus strategik bersama rakan ASEAN dan antarabangsa.”Malaysia turut menekankan kepentingan pembiayaan iklim yang mudah diakses, pemindahan teknologi serta sokongan bagi meningkatkan keupayaan negara dalam menangani perubahan iklim,” ujarnya.Pavilion Malaysia bertemakan “Climate Action Now: Driving Resilient Growth” menghimpunkan tujuh kluster tematik yang diterajui tujuh kementerian, dengan Johor sebagai rakan kerjasama di peringkat negeri.Tujuh kluster berkenaan merangkumi Kewangan dan Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Bandar dan Komuniti, Pembangunan Mampan, Tenaga dan Air, Sumber Asli serta Agrikomoditi.

Latest news