SHENZHEN: Pertemuan dua hala antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden China, Xi Jinping, dijadualkan menjadi acara utama pada hari terakhir lawatan Perdana Menteri di Shenzhen, hari ini, sebelum berangkat pulang selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-33.
Baca juga: Sir Teh Bantu Tiga Bekas Pelajar Berjaya Ke Menara Gading
Pertemuan dijadualkan berlangsung pada jam 11.30 pagi di Rumah Tamu Negara Qilin Villa itu akan menjadi platform untuk kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan Malaysia-China serta meneroka langkah untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala.
Pertemuan itu adalah acara rasmi terakhir Anwar di Shenzhen sebelum berangkat pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an pada jam 12.30 tengah hari.
Pertemuan itu akan turut dihadiri anggota delegasi Malaysia termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; pegawai kanan Kementerian Luar dan Pejabat Perdana Menteri; serta Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Pertemuan dengan Jinping itu akan melengkapkan rangkaian program Anwar di Shenzhen, termasuk penyertaan beliau dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC serta beberapa pertemuan dengan wakil perniagaan dan pemimpin negara bagi memperkukuhkan hubungan ekonomi serta diplomatik Malaysia.
Program beliau turut merangkumi perjumpaan dengan wakil sektor perniagaan; pertemuan dengan Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee Ka-chiu; serta penyertaan dalam Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China.
Lawatan Anwar mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap pembabitan aktif pada peringkat serantau dan usaha memperkukuhkan kerjasama dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi serta geopolitik global.
© New Straits Times Press (M) Bhd