SUBANG JAYA: Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak boleh terus bergantung pada kenaikan yuran pengajian untuk menampung peningkatan kos operasi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Baca juga: PATI Bayar Hingga RM3,500 Kepada Ejen Untuk Masuk Malaysia
Sebaliknya, beliau berkata, IPTS perlu mempelbagaikan sumber pendapatan menerusi dana endowmen, wakaf dan sumbangan dermawan.
Katanya, hasil kajian dijalankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Yayasan Jeffrey Cheah dan Universiti Sunway pada 2025 yang membabitkan 388 institusi swasta, mendapati institusi berkenaan terlalu bergantung pada hasil yuran pengajian, manakala dana endowmen kurang dimanfaatkan serta perbelanjaan penyelidikan masih rendah.
“Meskipun kebanyakan universiti swasta kekal kukuh dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa, sektor itu tidak boleh bergantung pada kenaikan yuran pengajian untuk menampung kos operasi yang semakin meningkat.
“Pada akhirnya, kemampanan kewangan perlu membantu mengekalkan kualiti pendidikan tanpa perlu meletakkan beban yang tidak munasabah kepada pelajar dan keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Biasiswa dan Anugerah Yayasan Jeffrey Cheah 2026, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, hasil kajian berkenaan juga mendapati lebih 70 peratus institusi yang ditinjau memiliki kurang 1,000 pelajar, manakala antara 30 hingga 50 peratus daripadanya mencatat kerugian tahunan dalam tempoh kajian dijalankan.
“Kajian itu turut mendapati lebih 70 peratus institusi terbabit tidak menerima sebarang sumbangan korporat dari 2020 hingga 2024, manakala hanya 7.3 peratus daripadanya mempunyai status pengecualian cukai,” katanya.
Bagi menangani perkara itu, Fadillah berkata, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 menggariskan keperluan memperluas sokongan daripada sektor filantropi, memperkukuhkan dana endowmen, serta mengkaji semula insentif cukai.
Beliau berkata, kerajaan juga akan meneliti langkah bagi memastikan sumbangan yang diluluskan kepada institusi swasta dapat disalurkan dengan lebih jelas dan berkesan, berlandaskan tadbir urus yang telus.
“Institusi yang terbukti memanfaatkan masyarakat wajar mendapat galakan menerusi amalan filantropi yang bertanggungjawab,” katanya.
Fadillah memaklumkan bahawa institusi swasta menempatkan 629,835 pelajar pada 2025, iaitu kira-kira 46 peratus daripada keseluruhan 1.37 juta pelajar institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Pada majlis itu, Yayasan Jeffrey Cheah menyampaikan biasiswa dan geran berjumlah RM82.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan yang telah disalurkan setakat ini sebanyak RM1.05 bilion.
Terdahulu, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, dalam ucapannya berkata beliau telah berikrar untuk memberi sumbangan tambahan RM500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menubuhkan satu daripada dana endowmen pendidikan terbesar di Malaysia di Universiti Sunway.
“Harapan saya agar dana endowmen bernilai setengah bilion ringgit ini akan terus membuka peluang kepada golongan muda yang layak,” katanya.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Cheah berharap lebih banyak syarikat korporat dan pertubuhan tampil menyumbang bagi membantu rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk mendapatkan pendidikan.
“Sudah tentu, sumbangan daripada Yayasan Jeffrey Cheah sahaja tidak memadai.
“Kami berharap lebih banyak organisasi yang mencapai kejayaan akan turut tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu rakyat Malaysia yang layak mendapatkan pendidikan berkualiti, sekali gus melahirkan sebuah negara yang maju, makmur dan berjaya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd