LATEST
National

Dadah dikesan di Pangkalan Udara Subang, TUDM sendiri serah pegawai kepada PDRM

Dadah dikesan di Pangkalan Udara Subang, TUDM sendiri serah pegawai kepada PDRM

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sendiri menyerahkan pegawainya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ditahan susulan penemuan sejumlah besar dadah di Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu.

Baca juga: Pertemuan Anwar-Jinping tumpuan utama hari terakhir lawatan PM di Shenzhen

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tindakan tegas tanpa kompromi oleh TUDM itu mencerminkan komitmen Kementerian Pertahanan (MINDEF) secara menyeluruh untuk tidak ‘memberi muka’ kepada sebarang kegiatan jenayah dalam angkatan pertahanan negara.

Malah, katanya, TUDM secara berkala melaksanakan pemeriksaan dalaman bagi memastikan organisasi itu sentiasa bebas daripada kegiatan dadah.

Beliau berkata, penemuan kali ini adalah yang pertama seumpamanya ketika pemeriksaan rutin dijalankan.

“Kejadian dikesan sendiri oleh petugas TUDM ketika menjalankan pemeriksaan rutin terhadap bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), PU Subang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, dalam pemeriksaan itu, pihak TUDM menjumpai lima bagasi dan sebuah kotak mengandungi bahan mencurigakan yang disyaki dadah.

Susulan itu, beliau berkata, penemuan berkenaan segera dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM yang kemudian menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

“Kira-kira jam 5.20 petang hari sama, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi dan mengesahkan bahan ditemui itu adalah dadah berbahaya.

“Kesemua lima bagasi dan sebuah kotak berkenaan kemudian disita sebagai bahan bukti, manakala lima pegawai TUDM yang disyaki terbabit pula ditahan oleh PDRM. Siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, MINDEF tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti bersekongkol dengan kegiatan itu.

Beliau berkata, prinsip ketelusan dan akauntabiliti sentiasa dititikberatkan dalam semua tindakan, termasuk membabitkan kes penemuan dadah berkenaan.

Katanya, operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman akan terus dipergiat bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal bebas daripada kegiatan dadah.

Terdahulu, media melaporkan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata lima pegawai TUDM ialah antara 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah dengan menggunakan aset TUDM, baru-baru ini.

Hussein dipetik berkata, 11 individu termasuk enam orang awam itu diberkas susulan penemuan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news