LATEST
National

RUU akta baharu MARA dijangka dibentang di Dewan Rakyat sebelum akhir tahun ini

RUU akta baharu MARA dijangka dibentang di Dewan Rakyat sebelum akhir tahun ini

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) untuk penggubalan akta baharu Majlis Amanah Rakyat (MARA), dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum akhir tahun ini.

Baca juga: IPTS usah terus bergantung kenaikan yuran pengajian untuk tampung kos – Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata proses itu kini pada peringkat akhir, dan berharap ia dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, segala-galanya sudah pada peringkat terakhir dan kita berharap dalam waktu terdekat dan sebelum tamat sidang Dewan Rakyat tahun ini, kita akan dapat versi terakhir penyediaan ‘Blue Bill’ untuk dibentangkan di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kelulusan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2026, di sini, malam tadi.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Ahmad Zahid berkata, MARA menyalurkan RM552 juta pembiayaan kepada hampir 4,000 usahawan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan mengikut keperluan, tahun lalu.

Beliau berkata, pembiayaan itu diselaraskan dengan bimbingan serta akses pasaran bagi memastikan usahawan mendapat sokongan bersesuaian untuk mengembangkan perniagaan.

“Saya maklum ada yang memerlukan modal untuk memenuhi pesanan pertama. Ada yang sudah bersedia menambah kapasiti kilang. Ada juga yang memerlukan pensijilan untuk menjadi pembekal kepada syarikat besar.

“Sekali lagi MARA hadir untuk menyelaras pembiayaan, bimbingan dan akses pasaran mengikut tahap setiap perusahaan,” katanya.

Seterusnya, Ahmad Zahid berkata, kejayaan pembiayaan perlu dinilai berdasarkan impak selepas dana disalurkan.

Ia termasuk peningkatan kapasiti syarikat, kejayaan memperoleh kontrak baharu, dan pewujudan pekerjaan dengan kadar gaji lebih baik.

Katanya, MARA juga perlu memperkukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SME Corp Malaysia, SME Bank, Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), institusi kewangan lain dan agensi pensijilan.

“Kita memerlukan pendekatan merentas agensi. Apabila peranan agensi bertindih, usaha kita menjadi berselerak dan sumber terpecah.

“Akhirnya, kita melakukan pelbagai perkara tetapi tidak menguasai mana-mana bidang sepenuhnya.

“Setiap agensi mesti jelas akan peranannya dan bekerjasama mengikut kepakaran.

“Melalui ekosistem pembiayaan, bimbingan dan akses pasaran yang ada, MARA akan terus membantu usahawan kita membina syarikat lebih kukuh, mencipta pekerjaan, serta membuka peluang kepada usahawan lain,” katanya.

Ahmad Zahid memaklumkan bahawa pada tahun lalu melalui program ‘Gate to Global’ MARA, seramai 50 usahawan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan mencatat jualan lebih RM100 juta.

Mengulas lanjut pada sidang media, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap MARA dapat menyediakan pembiayaan mencecah RM1 bilion bagi menggalakkan lebih ramai usahawan terbabit program ‘Gate to Global’.

Beliau berkata, pihaknya merancang membantu syarikat berpotensi bawah MARA, untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih agresif mulai tahun depan, malah sudah mengenal pasti syarikat yang memiliki perolehan mencukupi serta mencatat keuntungan mengikut syarat ditetapkan Bursa Malaysia.

Berdasarkan data, calon AURA 2026 merekodkan nilai jualan terkumpul RM1.6 bilion pada tahun lalu.

AURA 2026 mempertandingkan 13 kategori anugerah serta tiga penghargaan khas, dengan satu Anugerah Tokoh Usahawan MARA menjadi pengiktirafan tertinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news