am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Sungai Golok, Rantau Panjang dan Sungai Galas di Kampung Lembaga, Gua Musang, melepasi paras berjaga-jaga setakat 10 malam, berikutan hujan lebat hari ini.
Baca juga: ‘Tak sangka dia tidak pulang selamanya’ – Ibu
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bacaan bagi Sungai Golok adalah 7.16 meter, berbanding paras normal 7 meter.
Bagi Sungai Galas pula menunjukkan bacaan 83.84 meter, berbanding paras normal 83.7 meter.
Sungai lain masih berada di paras normal termasuk Sungai Semerak di Pasir Puteh; Sungai Kelantan di Air Mulih, Pasir Mas dan Empangan Bukit Kwong, Rantau Panjang.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda sembilan negeri hingga 1 pagi ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan memaklumkan cuaca buruk itu dijangka melanda seluruh Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta beberapa kawasan di Perak, iaitu Kerian, Selama, Larut Matang, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Manjung, Hilir Perak dan Kampar.
Amaran sama turut membabitkan Pasir Puteh, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Gua Musang, Machang dan Tanah Merah di Kelantan, Pahang (Cameron Highlands) manakala Besut serta Setiu di Terengganu.
© New Straits Times Press (M) Bhd