KOTA BHARU: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi sungai di Kampung Pulau Belacan, di sini, petang tadi, ditemui lemas.
Baca juga: MITI, Kastam siasat dakwaan cip AI dieksport semula melalui Malaysia ke negara lain
Mayat Muhammad Azim Danial Abdul Hadi, 13, dijumpai sekitar jam 8.12 malam pada kedalaman 4.57 meter (m) sungai itu oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ibu mangsa, Nik Nur Atikah Abdullah, 32, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu keluar rumah kira-kira jam 5 petang tadi bersama lima rakan dengan menunggang motosikal.
“Saya berselisih dengannya di tengah jalan, cuma tidak sempat bertegur dan tidak tahu pula Azim ke sungai.
“Sebelum ini, Azim tidak pernah ke sana (sungai), malah dia tidak tahu berenang. Difahamkan selain untuk mandi, anak saya dan rakannya ingin mencari lala di situ.
“Namun, saya kemudian dihubungi suami yang memberitahu anak lemas, dan segera ke lokasi sambil berdoa Azim ditemukan selamat tetapi Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, malam tadi.
Nik Nur Atikah berkata, seorang daripada rakan arwah mendakwa bahawa terdahulu Muhammad Azim Danial mandi di tengah sungai walaupun sudah dilarang rakan-rakan.
Beliau berkata, arwah kemudian dilihat tenggelam timbul, dan rakannya sempat memegang badan mangsa tetapi terlepas.
“Boleh dikatakan setiap hari saya pesan kepadanya supaya jangan keluar merayau selepas pulang dari sekolah. Tidak sangka kali ini dia keluar dan tidak akan pulang buat selama-lamanya,” katanya sebak.
Nik Nur Atikah berkata, tiada perubahan dikesan pada arwah, cuma anaknya itu tidak sempat bersalaman dengan beliau sebelum ke sekolah pada pagi semalam.
“Biasanya, dia akan bersalam dengan saya sebelum pergi ke sekolah. Cuma, pagi tadi (semalam) mungkin disebabkan sudah terlewat, dia tidak sempat salam,” katanya.
Jenazah arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemumin selepas selesai proses bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd