LATEST

MARA salur RM552 juta pembiayaan untuk 4,000 usahawan

MARA salur RM552 juta pembiayaan untuk 4,000 usahawan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Baca juga: Pelajar meninggal dunia di SBP selamat dikebumikan

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyalurkan RM552 juta pembiayaan kepada hampir 4,000 usahawan tahun lalu bagi membantu mengembangkan perniagaan mengikut keperluan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembiayaan turut diselaraskan dengan bimbingan dan akses pasaran bagi memastikan usahawan mendapat sokongan bersesuaian untuk mengembangkan perniagaan.

“Saya maklum ada yang perlukan modal untuk memenuhi pesanan pertama. Ada yang sudah bersedia menambah kapasiti kilang. Ada juga yang perlukan pensijilan untuk menjadi pembekal kepada syarikat besar.

“Sekali lagi MARA hadir untuk menyelaras pembiayaan, bimbingan dan akses pasaran mengikut tahap setiap perusahaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan pembiayaan perlu dinilai berdasarkan impak selepas dana disalurkan, termasuk peningkatan kapasiti syarikat, kejayaan memperoleh kontrak baharu dan pewujudan pekerjaan dengan kadar gaji lebih baik.

Katanya, MARA juga perlu memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SME Corp Malaysia, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank), Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), institusi kewangan lain dan agensi pensijilan.

“Kita memerlukan pendekatan merentas agensi. Apabila peranan agensi bertindih, usaha kita jadi berselerak dan sumber terpecah.

“Akhirnya, kita melakukan pelbagai perkara tetapi tidak menguasai mana-mana bidang sepenuhnya. Setiap agensi mesti jelas mengenai peranannya dan bekerjasama mengikut kepakaran.

“Melalui ekosistem pembiayaan, bimbingan dan akses pasaran yang ada, MARA akan terus membantu usahawan kita membina syarikat yang lebih kukuh, mencipta pekerjaan dan membuka peluang kepada usahawan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pada tahun lalu, menerusi program Gate to Global MARA, 50 usahawan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan mencatatkan jualan melebihi RM100 juta termasuk jenama makanan ringan tempatan Aducktive berjaya memasuki pasaran Korea Selatan melalui kerjasama dengan rakan niaga di Seoul.

Dalam masa yang sama, MARA bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan agensi lain untuk membantu usahawan.

Pada sidang medianya, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap MARA dapat menyediakan pembiayaan mencapai RM1 bilion bagi menggalakkan lebih ramai usahawan terbabit dalam program Gate to Global untuk meletakkan produk dan perkhidmatan mereka di peringkat antarabangsa.

Katanya, pihaknya merancang membantu syarikat berpotensi di bawah MARA disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih agresif mulai tahun depan dan sudah mengenal pasti syarikat yang mempunyai perolehan mencukupi serta mencatatkan keuntungan mengikut syarat ditetapkan Bursa Malaysia.

Berdasarkan data, calon AURA 2026 merekodkan nilai jualan terkumpul RM1.6 bilion pada tahun lalu.

AURA 2026 mempertandingkan 13 kategori anugerah serta tiga penghargaan khas, dengan satu Anugerah Tokoh Usahawan MARA menjadi pengiktirafan tertinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news