LATEST

Pertemuan sentuh emosi Kamal CRK dengan Ali XPDC

Pertemuan sentuh emosi Kamal CRK dengan Ali XPDC

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Kamal CRK meluangkan masa mengunjungi rakan lamanya, Ali XPDC yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) bagi bertanya khabar.

Baca juga: MARA salur RM552 juta pembiayaan untuk 4,000 usahawan

Kamal atau nama sebenarnya, Mohamad Kamal Mohd Rashidy, 61, yang menetap di Pulau Pinang berkata, dia mengambil kesempatan meluangkan masa melawat Ali apabila menerima berita penyanyi terbabit dimasukkan ke IJN, semalam.

“Saya dengan Ali dah kenal lama. Kali akhir saya jumpa dengan dia ialah waktu show di Pesta Port Dickson kalau tak salah saya. Benda dah lama dan tahunnya pun dah lupa.

“Saya rasa bersyukur dapat melawat dia kerana kebetulan saya terbabit dengan program di Kuala Lumpur. Bila saya dapat melawat itu, timbul perasaan sedih.

“Rasa kasihan tengok keadaan artis-artis kita sekarang. Tapi apa-apa pun, sekurang-kurangnya kita minta dia sihat seperti sediakala,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Kamal menghadiri sidang media majlis Makan Malam Amal & Konsert Istimewa Kisah Kau dan Aku kumpulan UNITY, di sini, hari ini.

Kamal kini bergerak bersama kumpulan UNITY yang memainkan lagu-lagu kumpulan legenda Allrycats sebagai tribute.

UNITY turut dianggotai oleh Sharil (gitar), Ah Meng (bass yang juga bekas anggota Alleycats), Randall Lam (dram), Jane (keyboard) dan Noor Solihin (vokalis & perkusi).

Kamal berkata, dia amat bersyukur kerana dalam pertemuan itu dapat menyampaikan sumbangan buat rakannya.

“Alhamdulillah… walaupun tak banyak, kami dapat juga menyumbangkan sedikit sebanyak pada Ali untuk meringankan beban dia bagi keperluan kehidupan.

“Saya rasa amat lega dapat bantu rakan-rakan artis. Sementara masih sihat, inilah saja yang dapat saya tolong,” katanya yang popular dengan lagu Cinta dan Air Mata bersama CRK.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news