khairil.ashraf@hmetro.com.my
Baca juga: Dua sungai di Kelantan lepasi paras berjaga-jaga
Putrajaya: Harian Metro (HM) meraih Anugerah Media Lebuh Raya Terbaik menerusi artikel Mata-mata Atas Jambatan pada Majlis Anugerah Industri Lebuh Raya 2026, hari ini.
Artikel berkenaan dihasilkan dua wartawan HM, Sri Ayu Kartika Amri dan Muhaamad Hafis Nawawi.
Kedua-dua mereka menerima plak dan sijil penghargaan daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Turut menerima anugerah sama adalah Sinar Harian dan Mingguan Malaysia.
Alexander semasa ucapannya merakamkan penghargaan kepada warga media sama ada daripada media cetak, elektronik dan platform digital.
Beliau berkata, media di negara ini merupakan rakan penting dalam perjalanan pembangunan industri lebuh raya negara.
“Apabila berlaku kesesakan, kemalangan atau gangguan perjalanan, laporan yang pantas dan tepat membantu orang ramai merancang laluan, menjangka keadaan trafik dan membuat keputusan yang lebih selamat.
“Dalam keadaan seperti ini, tugas media melangkaui penyampaian berita, ia menjadi sebahagian daripada khidmat maklumat kepada rakyat,” katanya di sebuah hotel di sini, hari ini.
Alexander turut menghargai peranan media membawa suara pengguna termasuk aduan, teguran dan pengalaman yang mungkin tidak menyenangkan untuk didengari.
“Teguran yang berasas tidak wajar dilihat sebagai serangan terhadap industri, tetapi sebagai peluang untuk membetulkan kelemahan dan meningkatkan keyakinan masyarakat.
“Sebab itu, saya mahu hubungan antara pengendali lebuh raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan pihak media terus diperkukuh.
“Maklumat trafik dan penjelasan tentang gangguan operasi hendaklah disampaikan secara jelas, tepat pada masanya dan mudah difahami. Kita tidak seharusnya membiarkan kekosongan maklumat menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna,” katanya.
Selain itu katanya, peranan media dalam menyampaikan maklumat dan suara pengguna juga perlu disokong dengan tindakan oleh pihak industri.
“Saya mahu LLM dan seluruh pengendali lebuh raya memberi tumpuan kepada tiga keutamaan, iaitu tindakan pantas terhadap aduan melalui MyJalan, ketepatan maklumat trafik dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
“Kecemerlangan industri bukan sekadar diukur melalui pembangunan infrastruktur, tetapi melalui kecekapan perkhidmatan, keselamatan dan keyakinan rakyat terhadap sistem lebuh raya negara,” katanya.
Alexander menyatakan KKR melalui LLM akan terus memperkasa penggunaan teknologi digital, data raya dan kecerdasan buatan (AI) ke arah pengurusan lebuh raya pintar, selaras dengan Malaysia ITS Roadmap 2030.
“Matlamatnya adalah untuk memastikan perkhidmatan lebuh raya yang lebih selamat, cekap dan mampan serta memberi manfaat langsung kepada pengguna,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd