LATEST
National

Anthropic cipta rekod, muncul IPO terbesar dalam sejarah

Anthropic cipta rekod, muncul IPO terbesar dalam sejarah

BENGALURU: Anthropic berjaya mengumpul AS$81 bilion (RM333 bilion) menerusi tawaran awam permulaan (IPO) yang mencatat rekod baharu, mengatasi penyenaraian SpaceX pada Jun lalu untuk menjadi IPO terbesar dalam sejarah.

Baca juga: ‘Tak sangka kali ini anak keluar dan tak akan pulang selama-lamanya’

Penyenaraian itu berlangsung ketika aktiviti IPO semakin perlahan sejak musim panas, berikutan keadaan pasaran yang tidak menentu dan peningkatan kos pinjaman, sekali gus menyukarkan syarikat mendapatkan penilaian menarik.

“Menariknya, permintaan kekal begitu kukuh walaupun terdapat kebimbangan lebih meluas mengenai penilaian dan perbelanjaan dalam sektor kecerdasan buatan (AI). Ini menunjukkan pelabur masih sanggup membayar premium bagi syarikat yang diyakini berpotensi menjadi peneraju jangka panjang dalam bidang AI,” kata Naib Presiden IPOX, Kat Liu.

Anthropic memperoleh penilaian AS$1.5 trilion (RM6.1 trilion) selepas menetapkan harga IPO berprofil tinggi itu melebihi julat harga yang ditawarkan sebelum ini, sekali gus mencerminkan minat pelabur yang tinggi terhadap makmal AI perintis pertama yang disenaraikan di Wall Street.

Syarikat itu membuat kemunculan sulung di Nasdaq hari ini dan dijangka menjadi penanda aras bagi industri AI, ketika pesaingnya, OpenAI, dilaporkan sedang mempertimbangkan penyenaraian pada 2027.

Anthropic bersama beberapa pemegang saham yang menjual kepentingan mereka menawarkan 980 juta saham pada harga AS$83 sesaham menerusi IPO yang diperbesarkan.

Pada awalnya, syarikat itu merancang menawarkan 825 juta saham pada harga antara AS$70 hingga AS$78 sesaham.

Sebelum ini, pelabur membincangkan kemungkinan penilaian syarikat mencecah sehingga AS$2 trilion.

Bagaimanapun, jangkaan itu dikurangkan susulan kebimbangan lebih meluas terhadap sektor AI, malah penilaian AS$1.5 trilion juga dilihat sebagai paras tertinggi dalam julat yang munasabah, menurut laporan Reuters sebelum ini.

Anthropic turut memperoleh AS$26 bilion daripada beberapa syarikat teknologi terbesar dunia menerusi penempatan persendirian yang dilaksanakan serentak dengan IPO berkenaan, sekali gus memperlihatkan hubungan kewangan yang semakin rapat dalam memacu ledakan industri AI.

Alphabet menerusi Google, Nvidia, Advanced Micro Devices, Broadcom, Micron Technology, Microsoft dan TSMC bersetuju menyertai penempatan persendirian itu pada harga yang sama dengan IPO.

Anthropic yang diasaskan pada 2021 oleh sekumpulan penyelidik yang meninggalkan OpenAI susulan perselisihan mengenai tadbir urus dan keselamatan AI, berjaya mengumpul AS$65 bilion pada penilaian selepas pengumpulan dana sebanyak AS$965 bilion pada penghujung Mei lalu.

OpenAI, pengendali chatbot AI ChatGPT, mendedahkan pada Jun lalu bahawa syarikat itu telah mengemukakan permohonan sulit untuk melaksanakan IPO di Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman, pada September berkata syarikat itu tidak akan disenaraikan pada 2026, dengan menyatakan kebimbangan keselamatan berkaitan AI yang menjadikan risiko walaupun 10 peratus kemungkinan teknologi itu menyebabkan kepupusan manusia menjelang akhir dekad ini sebagai sesuatu yang ‘tidak boleh diterima’.

Presiden OpenAI, Greg Brockman, awal bulan ini berkata syarikat itu kini menjana sebahagian besar hasil daripada jualan kepada pelanggan korporat dan beliau percaya OpenAI akan bersedia untuk disenaraikan pada 2027.

Reuters sebelum ini melaporkan bahawa syarikat itu sedang mempercepat usaha mendapatkan dana bagi memanfaatkan pertumbuhan terbaharunya selepas menangguhkan rancangan IPO.

OpenAI telah memuktamadkan pembiayaan baharu sebanyak AS$11 bilion, iaitu bahagian awal daripada pusingan pengumpulan dana yang menilai syarikat itu pada AS$1.25 trilion, menurut laporan Reuters awal bulan ini.

Pada Mei lalu, OpenAI berjaya menangkis cabaran undang-undang yang boleh mengancam kelangsungan syarikat itu yang dikemukakan Elon Musk, sekali gus memudahkan laluannya untuk meneruskan rancangan penyenaraian saham.

“Kami masih belum membuat keputusan mengenai masa yang sesuai. Ia mungkin mengambil sedikit masa kerana terdapat beberapa perkara yang ingin kami lakukan dan lebih mudah dilaksanakan ketika masih berstatus syarikat persendirian.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa pertimbangan yang perlu diseimbangkan dan langkah ini memberi kami pilihan untuk disenaraikan lebih awal sekiranya itu merupakan keputusan terbaik,” kata OpenAI pada Jun lalu.

Syarikat pengeluar roket dan satelit milik Elon Musk, SpaceX, mencatat sejarah apabila membuat kemunculan sulung di Nasdaq pada Jun lalu, dengan mengumpul dana rekod sebanyak AS$75 bilion.

Pencapaian itu mengatasi penyenaraian Saudi Aramco pada 2019 untuk menjadikan SpaceX IPO terbesar dunia ketika itu.Tawaran berkenaan menyimpang daripada amalan lazim Wall Street apabila harga saham ditetapkan sebelum siri pertemuan dengan pelabur, yang biasanya digunakan untuk mengukur permintaan dan menentukan julat harga tawaran.

Hasil IPO itu juga lebih dua kali ganda berbanding jumlah yang diperoleh Saudi Aramco menerusi penyenaraiannya.

Saham SpaceX ditutup pada harga AS$160.95 pada hari pertama dagangan, sekali gus memberikan penilaian syarikat sebanyak AS$2.1 trilion.

Bagaimanapun, momentum saham itu semakin perlahan sejak itu apabila ditutup pada AS$143.50 pada 18 November lalu, namun masih kekal melebihi harga IPO sebanyak AS$135 sesaham.

-Reuters

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news