LATEST

Cederakan bekas isteri: Mahkamah Rayuan arah penjawat awam dipenjara tiga tahun

Cederakan bekas isteri: Mahkamah Rayuan arah penjawat awam dipenjara tiga tahun

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang penjawat awam menjalani hukuman penjara tiga tahun bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada bekas isterinya, tiga tahun lalu.

Baca juga: Pertemuan sentuh emosi Kamal CRK dengan Ali XPDC

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah mahkamah rendah yang membebaskan Mohd Adnan Mat Isa, 52, daripada pertuduhan itu.

Mahkamah Rayuan, yang menggantikan keputusan itu dengan sabitan bersalah, memerintahkan Mohd Adnan menjalani hukuman itu mulai hari ini.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel berkenaan, Hayatul Akmal berkata hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam menilai keseluruhan keterangan mangsa.

“Kami mendapati bahawa keterangan PW1, mangsa yang ketika itu berusia 45 tahun, semasa pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula adalah konsisten serta tidak goyah,” katanya.

Beliau berkata kecederaan yang dialami mangsa disokong oleh laporan perubatan.

“Kami mendapati terdapat salah arah fakta dan undang-undang oleh hakim Mahkamah Sesyen dan hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.

Terdahulu, peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman ringan atas alasan Mohd Adnan bekerja sebagai pemandu selama 20 tahun dan adalah pencari nafkah bagi keluarganya.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Mahmod, yang dibantu oleh Mohamad Arif Aizuddin Masrom, pula berkata isu keganasan rumah tangga kini berleluasa dan perlu ditangani dengan serius supaya orang lain tidak melakukan perbuatan itu walaupun terhadap bekas isteri.

Pada 17 Jun tahun lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan Mohd Adnan daripada pertuduhan itu dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 23 April lepas.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Fadilah Jusoh di Pejabat Biro Bantuan Guaman Kota Bharu, Kelantan di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan pada 3 petang 10 Januari 2023.

Menurut fakta kes, insiden itu berlaku ketika mangsa bersama dengan anak tiri dan bekas madunya, pergi ke pejabat biro bantuan guaman untuk mendapatkan nasihat mengenai harta sepencarian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news