LATEST

Dua jurnal UPSI terima Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award 2026

Dua jurnal UPSI terima Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award 2026

Putrajaya: Dua artikel jurnal Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award (MRSA) 2026 sempena Majlis MRSA yang diadakan di Hotel Le Meridien, Putrajaya semalam.

Baca juga: Harian Metro raih Anugerah Media Lebuh Raya Terbaik

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, jurnal berkenaan ialah Malaysian Journal of Music (MJM) di bawah Ketua Editor, Dr Wong Huey Yi @ Colleen Wong yang menerima Anugerah Pengiktirafan Jurnal Current Research in Malaysia ( CREME) Kategori SCOPUS bagi Kategori Seni Kemanusiaan dan Sains Sosial.

Pada masa sama jurnal UPSI turut menerima Anugerah Pengiktirafan Jurnal CREME Kategori SCOPUS bagi Kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan (STEM) melalui Journal of Science and Mathematics Letters (JSML) di bawah Ketua Editor, Profesor Madya ChM. Dr Wan Mohd Nuzul Hakimi W Salleh.

Profesor Md Amin berkata, penyampaian anugerah disempurnakan Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Aminuddin Hassim itu adalah usaha KPT untuk mengiktiraf penyelidik dalam penghasilan karya ilmiah yang berkualiti dan berimpak tinggi terhadap sosial dan pembangunan negara serta pengiktirafan kepada jurnal Malaysia yang memperlihatkan prestasi tinggi dalam pangkalan data.

Katanya, pencapaian dua jurnal UPSI ini sangat membanggakan dan ia mengangkat reputasi penyelidik UPSI yang sentiasa menghasilkan karya ilmiah berkualiti dan berimpak tinggi khasnya dalam seni kemanusiaan dan sains sosial serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr Suriani Abu Bakar menyifatkan kejayaan jurnal UPSI ini hasil daripada komitmen yang tinggi daripada ketua editor jurnal berkenaan.

Selain kepimpinan yang mantap di peringkat Pejabat Karang Mengarang (Penerbit UPSI).

“Perancangan strategik Penerbit UPSI yang diatur pada tahun lepas untuk menerima anugerah ini menjadi kenyataan pada 2026,” katanya.

Bagi Ketua Editor MJM, Dr Colleen Wong, pengiktirafan itu menjadi pendorong untuk mereka terus meningkatkan mutu penerbitan, memperluas kerjasama akademik antarabangsa dan memperkukuh kedudukan MJM di peringkat global.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada sidang editor MJM dan Penerbit UPSI yang banyak membantu dalam urusan penerbitan jurnal. Tidak dilupakan juga Fakulti Muzik dan Seni Persembahan atas kepercayaan dan dorongan yang diberikan,” kata Dr Colleen.

Dr Wan Mohd Nuzul turut menzahirkan rasa syukur atas pencapaian itu dan mengakui kejayaan JSML menerima pelbagai anugerah selama ini hasil bantuan dan sumbangan semua pihak daripada Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Jawatankuasa Pengurusan UPSI, Jawatankuasa Penerbitan UPSI, Dekan dan staf fakulti, Pengarah dan kakitangan Seksyen Jurnal, Penerbit UPSI sehinggalah ke rakan sidang editor jurnal serta Perunding Jurnal UPSI, Profesor Madya Dr Ramadhansyah Putra Jaya.

Pengarah Penerbit UPSI, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah berkata. kejayaan ini mengulangi pencapaian UPSI dalam MRSA pada 2019 menerusi MJM yang menerima pengiktirafan Jurnal Berpotensi CREME.

“Sebagai penerbit untuk 32 jurnal UPSI, kami sentiasa meningkatkan kualiti jurnal bagi menghasilkan karya ilmiah berimpak tinggi,” katanya.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Azlinda Azman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news