LATEST

GETARJB persembahkan teater Mentera Dendam Megat Putera bermula hari ini hingga Ahad

GETARJB persembahkan teater Mentera Dendam Megat Putera bermula hari ini hingga Ahad

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Selepas merangkul gelaran johan Festival Teater Malaysia Zon Selatan (FTMZS) 2026, Gerak Teater Tari Johor Bahru (GETARJB) kini bakal mempersembahkan teater Mentera Dendam Megat Putera,

Baca juga: Anthropic cipta rekod, muncul IPO terbesar dalam sejarah

Teater hasil karya Senjakala itu akan dipentaskan di Auditorium Permata Sari, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor, Johor Bahru pada jam 8.30 malam ini (Jumaat) sehingga Ahad ini.

Pengarah merangkap penulis skrip, Azri Azmi Abd Aziz yang dikenali dengan nama pentas Senjakala berkata, naskhah Mentera Dendam Megat Putera bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya mempunyai kekuatan dari sudut penceritaan, budaya, sejarah dan nilai kemanusiaan.

Menurutnya, karya ini mengangkat konflik tentang dendam, maruah, pengkhianatan, kuasa, cinta dan kesetiaan.

“Mesej utama yang ingin disampaikan dalam teater ini berkaitan rasa dendam yang tidak dikawal mampu menghancurkan bukan sahaja kehidupan seseorang, malah seluruh keluarga dan masyarakat.

“Kami mahu penonton melihat bahawa di sebalik perebutan kuasa dan konflik manusia, maruah serta prinsip kehidupan sebagai sesuatu yang sangat berharga.

“Selain itu, kami juga mahu membuktikan bahawa penggiat seni dari Johor mampu menghasilkan karya teater yang berkualiti, mempunyai identiti dan mampu bersaing di peringkat kebangsaan,” katanya.

Bercerita lanjut, Azri yang turut dikenali sebagai Cikgu Azri berkata, cabaran terbesar produksi adalah mengumpul dana bagi menampung kos untuk menjayakan pementasan teater berkenaan.

“Dalam erti kata lain, kami tidak mempunyai dana yang besar, tapi ada impian besar. Justeru, setiap individu perlu memainkan peranan untuk memastikan pementasan ini menjadi kenyataan” katanya.

Menurut Azri, dia mengakui semangat berpasukan membuatkan mereka terus bertahan.

“Saya bersyukur juga kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang hebat dalam dunia teater. Satu kesempatan yang baik kerana ada dalam kalangan mereka yang pernah memenangi anugerah pelakon terbaik.

“Bagaimanapun, pementasan teater ini sebenarnya membawa misi yang lebih besar daripada sekadar menjual tiket dan menjayakan persembahan.

“Pementasan itu akan menjadi salah satu usaha kami untuk mengumpulkan dana bagi merealisasikan misi membawa nama Johor ke pentas Festival Teater Malaysia 2027 di Kuala Lumpur nanti,” katanya.

Teater Mentera Dendam Megat Putera menampilkan pelakon seperti Azrul Syafiq, Lynn Rahman, Putera Ami, Nizam Yasmin dan Anies selain penampilan istimewa, Hairi Safwan menerusi watak Sang Kala.

Berkongsi harapannya, Azri berharap peminat teater terutama di Johor dapat datang menyaksikan sendiri hasil karya Mentera Dendam Megat Putera yang dihasilkan anak seni tempatan.

“Jangan hanya menunggu apabila anak Johor sudah berjaya di peringkat kebangsaan, tetapi berikan sokongan ketika mereka sedang berjuang.

“Kami mempunyai semangat, bakat dan kesungguhan untuk mengangkat nama Johor. Beri kami peluang dan sokongan. Insya-Allah, kami akan buktikan anak seni Johor mampu berdiri megah di pentas kebangsaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news