LATEST
National

Untung bersih suku ketiga Sunway Construction meningkat kepada RM105.05 juta

Untung bersih suku ketiga Sunway Construction meningkat kepada RM105.05 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sunway Construction Group Bhd meningkat kepada RM105.05 juta pada suku ketiga berakhir 30 September, berbanding RM83.77 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Baca juga: RUU akta baharu MARA dijangka dibentang di Dewan Rakyat sebelum akhir tahun ini

Bagaimanapun, hasil merosot kepada RM1.07 bilion pada suku tersebut berbanding RM1.44 bilion sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh segmen pembinaan, manakala peningkatan dalam keuntungan didorong oleh sumbangan daripada semua segmen.

Kumpulan itu memaklumkan bahawa segmen pembinaan mencatatkan hasil sebanyak RM995.1 juta, berbanding RM1.38 bilion pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

“Perolehan lebih tinggi pada suku ketiga tahun kewangan 2025, didorong kebanyakannya oleh kemajuan yang lebih pantas merentasi beberapa projek pusat data dan projek dalaman.

“Bagaimanapun, segmen tersebut mencatatkan margin keuntungan lebih tinggi pada suku semasa, hasil daripada campuran projek yang lebih menguntungkan,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, keuntungan bersih meningkat kepada RM327.05 juta daripada RM243.39 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil merosot kepada RM3.11 bilion daripada RM4.32 bilion sebelum itu.

Mengenai prospek, Sunway Construction menyatakan bahawa ia telah memperoleh tempahan baharu bernilai RM9.80 bilion setakat tahun ini, mengatasi sasaran semakan semula penambahan nilai perolehan kontrak sebanyak RM7.0 bilion hingga RM9.0 bilion bagi tahun kewangan 2026.

Nilai perolehan tertunggak Sunway Construction kini berada pada paras tertinggi iaitu RM12.45 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh serta menyokong momentum pertumbuhan kumpulan.

Menurut syarikat itu, ia terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen Kemudahan Teknologi Termaju (ATF) dalam persekitaran prospek ekonomi yang memberangsangkan dan permintaan semakin meningkat terhadap pelaburan pusat data di Malaysia.

“Berlandaskan rekod prestasi yang terbukti serta hubungan kukuh dengan pelanggan berskala besar utama, kumpulan ini terus aktif mengejar peluang pusat data baharu dan meneroka peluang dalam segmen ATF lain, termasuk sektor semikonduktor,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kumpulan itu juga sedang meneroka pasaran serantau untuk meluaskan kehadiran geografi dan mempelbagaikan portfolio projeknya dan terus melaksanakan projek-projek dalaman daripada Sunway Group termasuk hospital, pembangunan bersepadu, bangunan komersial dan pembangunan berorientasikan transit.

Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Construction, Liew Kok Wing, berkata keutamaan kumpulan itu kekal pada penyiapan tepat pada masanya bagi portfolio projeknya yang semakin berkembang dan merebut peluang yang menawarkan margin mampan serta menyokong pertumbuhan mampan bagi tempoh jangka sederhana hingga panjang.

“Kami kekal optimis terhadap prestasi kumpulan bagi baki tahun kewangan 2026, disokong oleh nilai perolehan tertunggak yang mencatat rekod tertinggi serta kedudukan kewangan yang kukuh, mengembangkan keupayaan teknikal, serta pangkalan pelanggan pelbagai merentasi Kemudahan Teknologi Termaju (ATF) dan projek-projek Kumpulan Sunway,” menurut syarikat itu.

Lembaga pengarah juga telah mengisytiharkan dividen interim ketiga satu peringkat sebanyak 7.90 sen bagi setiap saham biasa yang akan dibayar pada 17 Disember 2026.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news