LATEST

Jejak asnaf di perairan Sabah

Jejak asnaf di perairan Sabah

anbia@hmetro.com.my

Sandakan: Jelajah pulau terpencil di perairan Sabah bagi menjejaki dan membantu penghuninya dalam kalangan golongan asnaf terpinggir.

Baca juga: Sindiket dadah guna aset TUDM: 5 pegawai antara 11 ditahan

Rata-rata golongan ini hidup tanpa kemudahan asas dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada hasil laut yang tidak menentu bagi meneruskan kehidupan.

Usaha murni itu digerakkan Muslim Care Malaysia (MCM) dalam usaha menyantuni dan mencari keluarga asnaf yang benar-benar memerlukan bantuan.

Menerusi Misi Kasih Asnaf yang berlangsung dari bermula 6 November lalu, petugas MCM menjejaki golongan ini termasuk di Pulau Sanghai dan Pulau Tronglit di perairan Sandakan, Sabah.

Sebanyak 210 pek makanan kering diserahkan kepada keluarga nelayan di kedua-dua pulau itu dengan 145 pek diagihkan di Pulau Sanghai manakala 65 lagi di Pulau Tronglit.

Setiap pek mengandungi beras seberat 10 kilogram, gula, sardin, susu serta pelbagai barangan makanan kering bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian penerima.

Misi itu turut menyaksikan 30 keluarga asnaf di Kampung Tinusa 2, Sandakan menerima bantuan makanan.

Lebih menyentuh hati, pasukan MCM turut menziarahi seorang warga emas berusia 100 tahun, Indasikla Marjaba, selain menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikannya.

Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail yang mengetuai misi bantuan di Pulau Sanghai dan Pulau Tronglit berkata, kehadiran pasukan itu bukan sekadar menyampaikan sumbangan, sebaliknya mahu mendekati masyarakat yang memerlukan perhatian serta pembelaan.

Usaha MCM menyantuni masyarakat asnaf di Sabah bukan perkara baharu apabila pertubuhan itu sebelum ini turut melaksanakan pelbagai program kebajikan, pendidikan dan pembangunan kemudahan asas bagi membantu komuniti yang sukar mendapat akses kepada perkhidmatan berkenaan.

Antara inisiatif penting ialah pembinaan Madrasah Terapung di perairan Pulau Mabul, Semporna, bagi menyediakan pendidikan asas Islam kepada kanak-kanak komuniti Bajau Laut atau Palauh.

Madrasah berkenaan diwujudkan sebagai sekolah bergerak di atas bot bagi mendekati kanak-kanak yang tinggal secara nomad di perairan sekitar pulau itu dan sukar mengikuti pendidikan agama secara formal.

Pada tahun lalu, menerusi program Kembara Dakwah Semporna dengan kerjasama FGV, MCM turut mengagihkan bantuan zakat wakalah berjumlah RM110,000 kepada 931 keluarga di Pulau Bum Bum, Pulau Mabul dan Pulau Kulapuan.

Malah, usaha menyantuni masyarakat Pulau Kulapuan diteruskan pada Ogos lalu menerusi Misi Bakti Hufaz bersama 31 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia-Darul Quran (USIM-DQ).

Menerusi program itu, sebanyak 200 pek makanan disampaikan kepada penduduk selain 150 naskhah muqadam Iqraq dan 50 naskhah bahan bacaan kanak-kanak diagihkan bagi menyokong pendidikan generasi muda di pulau berkenaan.

Komitmen MCM di Sabah turut merangkumi pembangunan kemudahan keagamaan apabila pertubuhan itu berjaya mengumpulkan dana hampir RM140,000 bagi pembinaan Surau Al-Manar di Sekolah Kebangsaan Batu 16 Gum-Gum, Sandakan.

Surau yang dirasmikan pada 6 November lalu itu dibina hasil sumbangan orang ramai dan mampu memberi manfaat kepada kira-kira 500 murid sekolah berkenaan.

Antara projek kebajikan lain yang pernah dilaksanakan MCM di Sabah termasuk pembinaan sebuah masjid di Nabawan serta penyediaan jambatan dan bot jenazah untuk penduduk Kampung Mengkalinau, Sandakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news