LATEST

Tiga fasa pelan tindakan perketat kawalan keselamatan KLIA

Tiga fasa pelan tindakan perketat kawalan keselamatan KLIA

nurul_husna@mediaprima.com.my

Baca juga: Pochettino mahu kurangkan tekanan pemain Man United

Kuala Lumpur: Kerajaan terus memperkukuh kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu masuk utama negara menerusi pelan tindakan diluluskan Jemaah Menteri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan itu diluluskan pada 19 Ogos lalu menerusi Memorandum Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk tindakan yang dirangka berteraskan tiga teras utama.

​

Katanya, tiga teras terbabit merangkumi Keselamatan Penerbangan, Keselamatan Negara dan Sempadan, serta Keselamatan Fizikal dan Perlindungan.

​Menurutnya, pelaksanaan Fasa 1 membabitkan pelan Jangka Pendek (0 hingga 6 bulan) bertindak sebagai langkah segera yang memberi fokus kepada memperketat tapisan keselamatan (e-Vetting), saringan dadah secara rawak serta kawalan akses kakitangan ke kawasan keselamatan terhad.

​”Langkah e-Vetting dan kawalan akses ini diterajui oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) bersama Aviation Security (AVSEC) bagi memastikan rekod pemegang pas keselamatan sentiasa dikemas kini dan akses boleh ditarik balik sekiranya individu berkenaan tidak lagi memenuhi ketetapan keselamatan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan laman Parlimen.

Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai status pelaksanaan 17 syor memperkukuh keselamatan KLIA dan pintu masuk antarabangsa yang diluluskan Jemaah Menteri.

​Menjawab lanjut, Saifuddin berkata, pelaksanaan saringan dadah secara rawak pula sudah dimulakan ke atas kumpulan sasaran yang dikenal pasti, khususnya juruterbang dan kru penerbangan sebagai langkah pencegahan bagi memelihara integriti keselamatan penerbangan.

​Menurutnya, rancangan pelaksanaan Fasa 2 (Jangka Sederhana; 6 hingga 24 bulan) akan tertumpu kepada perolehan aset strategik berteknologi tinggi termasuk pengimbas bagasi dan pengimbas badan (body scanner) berkuasa tinggi, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berkeupayaan analitik kecerdasan buatan (AI), pengukuhan Unit K9 PDRM serta integrasi data Pusat Risikan Nasional (NICC).

Sementara itu, katanya, Fasa 3 iaitu perancangan Jangka Panjang melebihi 24 bulan akan membabitkan pemodenan sistem keselamatan secara menyeluruh menerusi penggantian pengimbas generasi baharu berteknologi AI di semua pintu masuk udara, darat dan laut negara, selain pengubahsuaian infrastruktur terminal dan kargo mengikut tahap risiko.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news