SEREMBAN: “Saya tidak layak jadi Menteri Besar.” Itu reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin bagi mengulas mengenai namanya yang sering disebut sebagai calon berpotensi untuk mengisi jawatan berkenaan.
Beliau juga memaklumkan hubungan rapatnya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sering diperkatakan ramai bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa.
Baca juga: Jam tangan milik mangsa tragedi Titanic dilelong
Jelasnya, semua wakil rakyat dari parti itu turut mempunyai hubungan yang baik dengan Ahmad Zahid dan sering bertemu untuk membincangkan pelbagai perkara.
“Kalau nama saya disebut disebabkan rapat dengan Presiden UMNO, saya hendak beritahu bahawa semua wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional (BN) sangat rapat dengan Presiden.
“Kami sentiasa berjumpa dan berbincang. Ayahanda Presiden (Ahmad Zahid) umpama ayah kepada kami,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Selain Mohd. Asna, antara nama yang sering disebut berpotensi memikul tugas Menteri Besar Negeri Sembilan ialah ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi.
Spekulasi mengenai calon pengganti Menteri Besar kembali menjadi perhatian susulan perkembangan krisis kepimpinan negeri yang membabitkan kedudukan Datuk Ismail Lasim.
Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi satu kenyataan mengumumkan Ismail telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, perkembangan itu menimbulkan persoalan apabila Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan kelmarin memaklumkan pihak Istana Negeri Sembilan masih belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan yang menurut Zambry telah ditandatangani Ismail.-UTUSAN.
The post ‘Saya tidak layak jadi MB’ appeared first on Utusan Malaysia.