London: Xabi Alonso berdepan masalah kecederaan menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leeds United di Stamford Bridge, esok.
Baca juga: ‘Saya tidak layak jadi MB’
Seramai sembilan pemain daripada kedua-dua pasukan berkemungkinan terlepas perlawanan itu ketika Chelsea membuat persiapan menghadapi jadual padat lapan perlawanan sebelum penghujung tahun ini.
Chelsea mengharungi permulaan musim yang tidak menentu, justeru Alonso memerlukan barisan pemain terkuatnya kembali beraksi secepat mungkin.
Perlawanan menentang Leeds adalah permulaan kepada jadual sibuk membabitkan lapan aksi Liga Perdana Inggeris sebelum tahun baharu.
Namun, Alonso perlu membuat beberapa keputusan pemilihan pemain menjelang sidang media praperlawanan hari ini.
Joao Pedro antara pemain di bahagian serangan yang diragui dapat beraksi esok.
Penyerang berusia 25 tahun itu terlepas empat perlawanan terakhir Chelsea sebelum rehat antarabangsa akibat masalah kecederaan paha dan tidak kelihatan ketika latihan terkini di Cobham.
Kelab kadangkala tidak memaparkan pemain yang cedera dalam galeri latihan bagi mengelirukan pihak lawan. Justeru, penyokong menantikan perkembangan terkini daripada Alonso hari ini.
Kebimbangan baharu turut timbul membabitkan Moises Caicedo selepas beliau menjalani tugas antarabangsa bersama Ecuador.
Pemain tengah itu meminta untuk digantikan pada separuh masa ketika Ecuador menewaskan Bolivia minggu ini sambil menjelaskan beliau tidak berasa sihat.
Situasi itu berlaku hanya beberapa hari selepas beliau mengakui berasa letih dan sedang menguruskan beberapa ‘masalah kecil’.
Kakitangan perubatan Chelsea akan memeriksa keadaannya di Cobham hari ini.
Dua pertahanan utama Chelsea sudah disahkan tidak dapat beraksi esok.
Kapten kelab, Reece James menjalani pembedahan lutut pada Oktober dan dijangka masih berehat selama kira-kira dua bulan lagi.
Maxence Lacroix turut terlepas perlawanan itu selepas cedera hamstring ketika Chelsea disingkirkan daripada Piala Liga oleh Liverpool bulan lalu.
Pertahanan tengah dari Perancis itu berkemungkinan tidak dapat beraksi sehingga penghujung tahun ini.
Alonso dijangka turut memberikan perkembangan mengenai tiga lagi pemain Chelsea hari ini.
Josh Acheampong terlepas kekalahan kepada Sunderland dan tidak menyertai tugasan bersama England Bawah 21 tahun akibat kecederaan yang disifatkan sumber sebagai “ringan”.
Jorrel Hato pula sedang mengalami masalah belakang, manakala Jamie Gittens berdepan kecederaan buku lali.
Leeds United turut mempunyai masalah kecederaan menjelang kunjungan ke barat London.
Penyerang Mateo Joseph tidak dapat beraksi sehingga tahun depan selepas mengalami kecederaan ACL.
Pemain tengah Jerman, Anton Stach terlepas kemenangan Leeds ke atas Tottenham sebelum rehat antarabangsa akibat masalah kaki.
Pengendali Leeds, Daniel Farke dijangka memberikan penjelasan mengenai tahap kecergasan pemain itu dalam sidang media praperlawanan pasukannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd