Pemeriksaan rutin yang dijalankan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya membongkar penemuan dadah dalam lima bagasi dan sebuah kotak mencurigakan di Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penemuan itu dikesan sendiri oleh petugas TUDM ketika melakukan pemeriksaan terhadap bagasi yang bakal dimuatkan ke dalam pesawat tentera di Bangunan Pergerakan Udara (AMS).
Baca juga: Menteri langgar adab dalam urusan kerajaan? PM Anwar nasihat letak jawatan
Menurutnya, kejadian tersebut merupakan penemuan pertama seumpamanya ketika pemeriksaan rutin dijalankan, sekali gus menunjukkan kepentingan pemantauan dalaman bagi membendung kegiatan dadah dalam organisasi ketenteraan.
“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) secara berkala melaksanakan pemeriksaan dalaman bagi memastikan organisasi sentiasa bebas daripada kegiatan dadah.
“Penemuan kali ini merupakan yang pertama seumpamanya ketika pemeriksaan rutin dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Khaled memaklumkan lima bagasi dan sebuah kotak yang menimbulkan kecurigaan itu ditemukan ketika petugas menjalankan pemeriksaan sebelum proses pemuatan ke dalam pesawat TUDM.
Penemuan berkenaan kemudiannya dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM sebelum pihak berkenaan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
“Kejadian dikesan sendiri oleh petugas TUDM ketika menjalankan pemeriksaan rutin terhadap bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang.
“Pemeriksaan tersebut menemukan lima buah bagasi dan sebuah kotak yang mencurigakan,” ujarnya.
Foto arkib: Utusan
Susulan laporan tersebut, sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi kira-kira jam 5.20 petang pada hari kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan mengesahkan bahan yang ditemukan merupakan dadah berbahaya sebelum kesemua lima bagasi dan sebuah kotak itu disita sebagai bahan bukti.
Dalam operasi sama, lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat turut ditahan pihak polis bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Khaled menegaskan Kementerian Pertahanan memandang serius kejadian tersebut dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawai yang terbukti terlibat dalam kegiatan jenayah.
Beliau turut memberi jaminan bahawa TUDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.
“TUDM telah mengambil tindakan segera dengan menyerahkan kes ini kepada PDRM untuk siasatan lanjut dan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.
“Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti terlibat atau bersubahat,” tegasnya.
Tambah beliau, pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman akan terus dipertingkatkan bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal bebas daripada sebarang kegiatan berkaitan dadah.