Benar, sebuah lagu mampu menyentuh hati pendengar tanpa mengira bahasa. Namun, untuk benar-benar mendekati sesebuah masyarakat, penyanyi perlu faham bahasa yang dekat dengan kehidupan mereka.
Bagi penyanyi Malaysia yang mengimpikan pasaran di China, penguasaan bahasa Mandarin mungkin menjadi salah satu kunci yang membuka ruang dan peluang yang lebih luas di sana.
Baca juga: Penanda kiblat di Gunung Kinabalu tak halang penganut agama lain berdoa – Mufti Sabah
Bertemu dengan penyanyi lagu Gemilang, Jaclyn Victor, 48, dia bersetuju bahawa kebolehan menguasai bahasa Mandarin boleh menjadi nilai tambah buat artis tempatan yang mahu mengembangkan sayap ke China.
“Saya rasa, kebolehan berbahasa Mandarin memang satu kelebihan kerana pendengar di China sudah biasa mendengar lagu dalam bahasa mereka sendiri. Mereka lebih cenderung mendengar lagu dalam bahasa Mandarin atau dialek seperti Hakka dan Hokkien.
“Bayangkan kalau artis dari China, Australia atau Afrika sekalipun datang ke Malaysia dan mereka boleh nyanyi lagu dalam bahasa Melayu, tentu kita akan rasa tertarik. Walaupun mungkin kita tidak kenal mereka, kita tetap mahu mendengar kerana mereka boleh menyanyikan lagu dalam bahasa kita.
“Jadi, tiba-tiba daripada tidak mengenali seseorang penyanyi, kita mula tertarik kerana dia boleh menyanyikan lagu dalam bahasa kita. Bagi saya, itu satu kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh artis Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Keyakinan itu jugalah yang mendorong Jaclyn untuk tidak sekadar mengharapkan keajaiban vokal semata-mata apabila melangkah ke pentas gergasi Singer 2027 di China nanti.

Berbekalkan gelaran juara sulung Singer 2026 Malaysia, beliau mengambil langkah berani mendalami bahasa Mandarin hingga menduduki peperiksaan HSK 1 sebagai persiapan ke sana.
Pun begitu, Jaclyn tidak melihat penguasaan bahasa sebagai tiket automatik untuk mencipta nama di negara luar tetapi ia merupakan satu usaha untuk memudahkan penerimaan pendengar terhadap artis yang datang dari latar budaya berbeza.
“Saya bukan mengatakan kalau kita tahu bahasa itu, kita pasti boleh menembusi pasaran mereka tapi mungkin lebih mudah untuk kita diterima dan mereka juga akan lebih menghargai usaha kita kerana mengambil inisiatif untuk mempelajari bahasa mereka,” katanya.
Dalam pada itu, ujar Jaclyn, penyertaan dalam pertandingan di China bukanlah semata-mata tentang mengembangkan kerjaya atau mencari pasaran baharu.
Menurut juara Festival Muzik Asia Shanghai ke-8 (2005) ini, ada kepuasan tersendiri apabila seorang anak Malaysia berpeluang berdiri di pentas antarabangsa sambil membawa nama negaranya.
“Saya suka dengan apa yang saya lakukan di Malaysia. Tetapi, sebagai anak Malaysia, kalau kita boleh pergi ke luar negara dan membawa nama Malaysia, itu juga satu perkara yang sangat bermakna,” katanya.
“Saya rasa di sana ada pasaran yang berbeza. Jadi, kenapa kita tidak cuba? Kalau ada peluang untuk pergi ke sana dan memperkenalkan diri kepada pendengar baharu, saya rasa itu sesuatu yang baik,” katanya.
Menariknya, usaha Jaclyn mendekati bahasa Mandarin sebenarnya mengingatkannya kepada satu perkara yang pernah dirancang ibunya, Maggie Victor, ketika dia masih kecil.
Ibunya pernah mahu menghantarnya ke sekolah Cina, namun hasrat itu tidak menjadi kenyataan apabila Jaclyn akhirnya mengikuti persekolahan di sekolah kebangsaan.
“Ibu saya pernah mahu menghantar saya ke sekolah Cina ketika kecil. Kalau perkara itu menjadi kenyataan, mungkin sekarang saya sudah lebih biasa dengan bahasa Mandarin,” katanya.
Malah, Jaclyn secara berseloroh membayangkan mungkin dirinya tidak akan berasa terlalu kekok untuk berdepan cabaran berbahasa apabila perlu berada di China sekarang tetapi, katanya, peluang yang datang pada usia ini tetap disambut dengan keterbukaan meskipun ada perasaan gementar.
“Kalau dulu saya masuk sekolah Cina, mungkin sekarang saya tidak perlu terlalu risau untuk pergi ke China. Tetapi, tidak mengapalah, sekarang saya kena belajar dan cuba menyesuaikan diri dengan keadaan di sana,” katanya.
“Kalau saya masih muda dan perlu pergi ke China, mesti saya sudah gelabah. Sekarang bukanlah bermaksud saya tidak gementar langsung, tetapi saya rasa lebih tenang sedikit untuk bertanding di sana,” katanya.
The post Kuasai bahasa Mandarin mudah diterima dalam industri China – Jaclyn Victor appeared first on Utusan Malaysia.