LATEST
Business

Bina jaringan dari bangku sekolah lagi

Bina jaringan dari bangku sekolah lagi

DI dalam perniagaan, membina jaringan adalah satu perkara penting. Ini adalah kerana keputusan-keputusan yang melibatkan perniagaan kita dibuat oleh pelbagai pihak luar sama ada pelanggan, pembekal, badan-badan kawal selia dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO).Jaringan seseorang usahawan itu juga boleh bergantung kepada latar belakang masing-masing. Di mana dia dibesarkan, di mana dia belajar, di mana dia bekerja dan juga latar belakang keluarga.Walaupun Bill Gates memulakan perniagaannya di dalam stor rumahnya, ibunya yang duduk di kerusi lembaga pengarah syarikat membuka pintu untuk Gates meneroka dan mempromosikan produknya.Oleh yang demikian, jaringan perniagaan perlu dirancang dan diperluaskan. Ada juga pemikiran bahawa hubungan yang wujud perlu dijalin agar ia menjadi kuat dan boleh membantu apabila diperlukan.Inilah sebabnya pengasas-pengasas perniagaan tidak boleh selesa di pejabat. Mereka perlu keluar untuk mencari pasaran dan juga membina jaringan.Satu tempat yang mana jaringan mula terjalin ialah di bangku sekolah. Ini adalah kerana persahabatan yang dibina adalah murni kerana ketika itu semua anak-anak yang ada belum menjadi “siapa-siapa” lagi.Di masa hadapan, sahabat-sahabat ini boleh berinteraksi secara jujur tanpa mengira jawatan atau gelaran. Anak-anak kita perlu difahamkan berkenaan asas jaringan dan jalinan ini.Di universiti pula, kehidupannya berbeza. Ramai yang fokus dengan bidang masing-masing. Namun, persahabatan di peringkat ini, jika dijalin, lebih hampir manfaatnya dengan perniagaan kerana apabila tamat belajar, sahabat-sahabat kita akan bertaburan di muka bumi ini dan membina kerjaya masing-masing.Mungkin ada yang berkhidmat di dalam badan-badan yang ada hubungan dengan perniagaan usahawan sekalian.Mungkin ada yang berkata, “Oh, saya dah terlepas. Ramai sahabat-sahabat lama yang sudah tidak dapat dihubungi.” Mungkin itu benar.Namun, tidak ada ruginya untuk menjejaki sahabat-sahabat lama yang masih menghargai persahabatan lampau. Jika tiada manfaat perniagaan pun, ia sudah tentu mengindahkan lagi kehidupan kita sebagai insan.Jika hadir ke pelbagai program yang dihadiri oleh orang-orang yang berkaitan dengan industri seperti seminar-seminar atau persidangan-persidangan, buatlah risikan dan perancangan yang secukupnya.Semak siapa yang hadir dan siapa yang perlu kita cari dan dampingi. Jika jumpa seorang yang mampu membantu kita di dalam perniagaan pun sudah cukup. Apa lagi jika dapat kenal empat atau lima orang yang boleh kita masukkan ke dalam jaringan kita.Membina jaringan pun perlu ada pantang larangnya. Jangan sekali-kali membina jaringan di atas dasar rasuah dan salah guna kuasa. Jenayah-jenayah itu mungkin membantu di dalam jangka masa pendek, namun hiba jadinya jika tertangkap.Walaupun di dunia ini mungkin terlepas, bagaimana hendak lari di akhirat apabila kita dihisab oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Adil? Tiada “reverse gear” di akhirat. Binalah jaringan yang sihat dan bermanfaat di atas muka bumi ini.Tidak salah baik dan mesra dengan pesaing-pesaing yang ada. Di zaman moden ini, ada perniagaan yang bersaing dan bekerjasama di dalam masa yang sama. Apa yang penting, fokus diberikan untuk membesarkan industri. Ia akan memanfaatkan kesemua pemain-pemain industri.Membina jaringan dan memperkukuhkan jalinan ini adalah di antara kerja-kerja usahawan dan CEO yang amat penting. Jangan terlalu seronok bekerja di dalam perniagaan sehingga lupa peluang yang ada di luar sana.Mulakan pembinaan jaringan dari awal.

More in Business

View all

Latest news