LATEST

Loji solar terapung pulau Tioman diteliti, aspek ekologi diutamakan

Loji solar terapung pulau Tioman diteliti, aspek ekologi diutamakan

alagesh@nst.com.my

Baca juga: “Awak Okay?”- Soalan Mudah Tapi Beri Maksud Mendalam, Ini Antara Tips  Set Semula Minda Sempena Bulan Kesihatan Mental

Kuantan: Kerajaan Pahang bersikap terbuka berhubung usaha membangunkan loji penyelidikan solar terapung luar pesisir di Pulau Tioman, dengan syarat projek berkenaan tidak menjejaskan alam sekitar pesisir pantai pulau itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perhatian khusus akan diberikan terhadap kesesuaian tapak pemasangan yang dicadangkan bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada landskap pesisir pantai, ekosistem marin, terumbu karang, hidupan laut atau keselamatan pelancong.

Beliau berkata, Pahang menyokong cadangan projek itu sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan aspirasi negeri untuk menjadikan Pulau Tioman sebagai sebuah pulau tenaga hijau.

“Kajian ini dijalankan bagi meneroka sumber tenaga elektrik alternatif untuk Pulau Tioman yang ketika ini bergantung kepada penjanaan tenaga berasaskan diesel.

“Namun, aspek penyelenggaraan jangka panjang juga perlu diberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan projek ini tidak menjejaskan alam sekitar dan imej pelancongan pulau itu,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain pada sesi soal jawab persidangan DUN di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Johari meminta perkembangan terkini mengenai cadangan projek solar terapung itu serta pendirian kerajaan negeri terhadap pelaksanaannya, sambil menyatakan beliau memandang positif inisiatif berkenaan dan tidak mempunyai sebarang bantahan.

Wan Rosdy memaklumkan bahawa loji solar terapung luar pesisir berkapasiti 780kW yang dicadangkan itu merupakan projek penyelidikan yang dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) Research dengan kerjasama SolarDuck dan Hydro bagi menilai kebolehlaksanaan teknikal serta ekonomi teknologi solar terapung luar pesisir di Malaysia.

Beliau berkata, cadangan itu sudah diteliti oleh Jawatankuasa Teknikal Sumber Air dan Tenaga.

“Bagaimanapun, memandangkan tapak yang dicadangkan berada di dalam kawasan taman laut yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 serta kawasan yang diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, projek ini perlu mendapatkan kelulusan yang sewajarnya dan mematuhi keperluan teknikal serta perundangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Dalam soalan tambahan, Mohd Johari bertanya sama ada projek solar itu berpotensi menggantikan penjanaan elektrik berasaskan diesel, memandangkan kebergantungan pulau berkenaan terhadap bahan api itu untuk bekalan kuasanya.

Wan Rosdy menjelaskan bahawa projek itu tidak bertujuan menggantikan sistem penjanaan sedia ada, sebaliknya hanya untuk mengurangkan kebergantungan pulau itu terhadap diesel.

“Kita hanya mahu mengurangkan kebergantungan kepada diesel, bukan menggantikannya. Kita mesti mematuhi undang-undang sedia ada dan tidak mahu merosakkan pulau ini iaitu antara destinasi terindah di dunia.

“Saya tegaskan bahawa pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan taman laut yang diwartakan mesti diambil kira. Kita bersedia untuk meneruskannya berdasarkan dapatan laporan teknikal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news