LATEST
National

Yayasan Jeffrey Cheah salur RM82.5 juta biasiswa, geran tahun ini

Yayasan Jeffrey Cheah salur RM82.5 juta biasiswa, geran tahun ini

SUBANG JAYA: Yayasan Jeffrey Cheah (JCF) menyalurkan RM82.5 juta dalam bentuk biasiswa dan geran kepada lebih 8,000 pelajar tahun ini, menjadikan jumlah kumulatif bantuan pendidikan yayasan itu melepasi RM1.05 bilion sejak penubuhannya.

Baca juga: Terkini! Ismail Lasim Menghadap Tuanku Muhriz Untuk Kali Kedua Hari Ini

Pencapaian itu diumumkan pada Majlis Penyampaian Biasiswa dan Anugerah Yayasan Jeffrey Cheah 2026 yang berlangsung di Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah, di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan JCF dalam memperkukuh pembangunan pendidikan negara.

Beliau berkata, Pengasas dan Pemegang Amanah JCF, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah, sebelum ini sudah menyumbangkan lebih RM4 bilion kepada yayasan berkenaan, selain mengumumkan komitmen tambahan RM500 juta bagi penubuhan dana endowmen pendidikan.

“Ini sumbangan yang luar biasa. Namun, kepentingan sebenar sumbangan ini melangkaui angka semata-mata,” katanya.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pengumuman komitmen dana endowmen RM500 juta kepada Universiti Sunway oleh Cheah yang akan disalurkan dalam tempoh lima tahun.

Cheah berkata, dana berkenaan akan disalurkan sebanyak RM100 juta setahun bagi memperluas akses pendidikan kepada pelajar Malaysia yang layak, selain menyokong tenaga akademik, penyelidikan dan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata, dana endowmen itu diharap dapat menyediakan sokongan jangka panjang kepada pembangunan universiti berkenaan sekali gus memastikan institusi pendidikan itu terus berkembang dan memberi sumbangan kepada masyarakat untuk generasi akan datang.

“JCF tidak lagi menjadi milik saya atau keluarga, sebaliknya kini menjadi milik masyarakat Malaysia secara keseluruhannya untuk selama-lamanya,” katanya.

Pada tahun ini, lebih 8,000 pelajar menerima biasiswa dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan pascasiswazah, kecemerlangan akademik, seni kreatif, muzik, sukan, seni kulinari dan reka bentuk fesyen.

Antara biasiswa yang disampaikan ialah Sunway University Postgraduate Studentship and Scholarship, The Chancellor’s Scholarship, Sunway–Victoria University Excellence Scholarship dan Jeffrey Cheah Foundation Community Scholarship.

JCF memiliki dan mentadbir institusi di bawah Kumpulan Pendidikan Sunway, dengan lebihan operasi disalurkan semula untuk membiayai biasiswa, geran penyelidikan, pembangunan kemudahan pendidikan serta pengambilan tenaga akademik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news