LATEST

Star City FC buru tiga mata di Hang Jebat

Star City FC buru tiga mata di Hang Jebat

firdaushashim@hmetro.com.my

Baca juga: Pemeriksaan rutin anggota TUDM membawa kepada penemuan dadah

Kuala Lumpur: Star City FC tidak mahu pulang dengan tangan kosong apabila berkunjung ke Stadium Hang Jebat untuk berdepan Melaka FC dalam aksi Liga Super, malam esok, dengan misi memburu tiga mata penuh bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Star City FC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan berkata, kemenangan amat penting buat pasukannya untuk memastikan mereka terus bersaing dalam kelompok terbaik Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin atau mengambil mudah cabaran Melaka FC yang disifatkannya bukan mudah, apatah lagi beraksi di gelanggang lawan.

Menurutnya, kesilapan kecil boleh mengundang padah dan menyebabkan Star City kehilangan mata berharga dalam usaha mencapai sasaran ditetapkan.

“Paling penting, perlawanan ini kita perlu dapat mata penuh untuk meningkatkan kedudukan liga dan berada dalam kelompok terbaik. Kesilapan kecil boleh mengakibatkan kita berputih mata.

“Saya sudah berpesan kepada pemain supaya fokus kepada perlawanan ini, jangan terlalu yakin dan jangan mudah mengalah. Terlalu yakin akhirnya boleh memakan diri. Sepanjang 90 minit itu, pemain perlu memberikan perhatian sebaik mungkin,” katanya.

Dalam masa sama, Syed Mahadi turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan barisan kejurulatihan yang diketuai Mehmet Durakovic untuk mempersiapkan pasukan menghadapi pertembungan penting itu.

Katanya, meskipun saingan liga berehat sepanjang jendela antarabangsa November ini, persiapan Star City tetap berjalan seperti biasa bagi memastikan momentum pasukan tidak terjejas.

Beliau berkata, pihak pengurusan memberikan kepercayaan penuh kepada Durakovic dan barisan kejurulatihan dalam merangka persiapan terbaik, termasuk mengatur beberapa perlawanan persahabatan bagi memastikan pemain kekal berada pada tahap kompetitif.

“Kita beri kepercayaan penuh kepada barisan kejurulatihan, terutama Mehmet Durakovic. Dalam tempoh jendela antarabangsa yang menyaksikan liga berehat, kita hanya berehat daripada jadual perlawanan, tetapi latihan berjalan seperti biasa.

“Kita juga mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan di Utara. Kita tidak duduk diam dan terus memastikan pemain mendapat persiapan secukupnya,” katanya.

Justeru, Syed Mahadi berharap pemain dapat menterjemahkan segala persiapan dilakukan kepada persembahan terbaik ketika berdepan Melaka FC.

“Daripada segi persediaan, InsyaAllah jika kita dapat mengekalkan momentum sebelum ini, saya yakin kita mampu memperoleh kemenangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news