Kecanggihan sesuatu teknologi tidak akan tercapai tanpa peranan tenaga kerja berkemahiran yang memiliki rasa ingin tahu serta keazaman tinggi untuk menjayakannya.
Bagi Micron Malaysia, perjalanan tersebut bukanlah sesuatu yang terhasil dalam sekelip mata, sebaliknya dibina secara berterusan sejak lebih sedekad lalu.
Baca juga: TUDM Kesan Dadah Di Pangkalan Udara Subang, Lima Pegawai Ditahan
Bermula dengan penubuhan operasinya di Muar, Johor pada 2010 sebelum melebarkan sayap menerusi pelaburan baharu di Pulau Pinang pada 2018, syarikat ini berjaya membangunkan keupayaan pembuatan memori dan storan.
Pada masa sama, inisiatif ini turut melahirkan kepakaran kejuruteraan serta bakat tempatan yang berdaya saing.
Kini, pasukan di Pulau Pinang dan Johor menjadi tulang belakang kepada proses pemasangan dan pengujian berteknologi tinggi merangkumi pemacu keadaan pepejal (SSD), NAND, PCDRAM serta modul memori, selain melibatkan pengesahan produk dan kejuruteraan.
Malah, pencapaian ini turut merangkumi pengeluaran LPDRAM SOCAMM2 berkapasiti tinggi 256GB pertama dunia di Pulau Pinang bagi menyokong infrastruktur pusat data kecerdasan buatan (AI) generasi akan datang.
Namun, kemajuan teknologi hanyalah sebahagian daripada cerita sebenar.
Di sebalik kecanggihan tersebut, golongan pekerja sebenarnya memerlukan ruang bukan sahaja untuk membina kemahiran dan kerjaya baharu, malah turut dihargai, disokong serta diberi peluang untuk berkembang seiring perubahan landskap industri.
Dari lantai pengeluaran ke fasa membimbing rakan sekerja
Nor Shamim
Kisah transformasi ini dapat dilihat menerusi perjalanan kerjaya Nor Shamim Mat Saffar yang menyertai Micron pada 2019.
Beliau memulakan langkah sebagai operator dalam operasi barisan hadapan teknologi lekapan permukaan (SMT) bagi proses pemasangan.
Pengalaman bekerja secara langsung dengan mesin dan proses pengeluaran telah memberikannya asas yang kukuh dalam aspek pembuatan, keselamatan, kualiti serta disiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Seiring dengan evolusi sektor pembuatan ke arah automasi dan pendigitalan yang lebih meluas, keupayaan dirinya juga turut berkembang.
“Jangan takut untuk bermula sebagai seorang operator. Saya sendiri bermula dari bawah dan di situlah saya membina asas kerjaya.
“Teruskan belajar, tingkatkan kemahiran dan jangan sesekali takut untuk merebut peluang apabila ia tiba,” katanya.
Mengimbas kembali permulaannya, Nor Shamim mengakui fokus utamanya ketika mula menyertai Micron hanyalah untuk mempelajari selok-belok tugas dan melaksanakannya dengan baik, tanpa menyangka suatu hari nanti beliau akan melatih pekerja lain pula.
“Kini, saya sudah berjaya menamatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3, dan saya mahu terus melangkah ke hadapan. Saya berharap dapat menyambung pengajian ke peringkat diploma dan terus memperbaiki diri.
“Sebagai seorang ibu, masa bersama keluarga amat penting bagi saya meskipun saya mahu terus maju dalam kerjaya.
“Alhamdulillah, aturan syif di sini sangat membantu saya mengimbangi kedua-duanya.
“Pada masa hadapan, saya berhasrat untuk mendapatkan diploma dan memikul tanggungjawab yang lebih besar seperti penyelia atau penolong penyelia, sambil mengekalkan keseimbangan bersama keluarga,” ujarnya.
Perjalanan Nor Shamim ini secara tidak langsung mencerminkan anjakan yang lebih luas dalam Micron Malaysia.
Apabila sektor pembuatan menjadi semakin kompleks, setiap ahli pasukan berpeluang membina keupayaan dalam bidang pembuatan termaju, automasi, analitik data, proses berasaskan AI, kejuruteraan, kualiti serta kebolehpercayaan.
Kejuruteraan dalam era kecerdasan buatan

Kevin Lee
Sementara itu, bagi Kevin Lee Kar Heng yang menyertai Micron pada Januari 2021 sebagai jurutera proses dalam pasukan pemasangan komponen, evolusi industri ini jelas terpancar melalui perubahan cara kerja bidang kejuruteraan itu sendiri.
“Bagi saya, bidang kejuruteraan ini ibarat kerja penyiasatan.
“Apabila berdepan sesuatu masalah, kita meneliti data, memahami punca sebenar dan cuba menyelesaikannya. Itulah bahagian yang paling saya gemari.
“Tambahan pula dengan kehadiran AI sekarang, terlalu banyak perkara baharu yang boleh kita cuba dan pelajari.
“Saya tidak pernah melihat diri saya akan berhenti dan berkata, ‘cukuplah ilmu saya setakat ini’. Saya mahu terus belajar, menyahut cabaran masalah yang lebih rumit dan melihat sejauh mana ia mampu membawa saya,” jelasnya.
Kevin turut terlibat secara langsung dalam Pengelasan Kecacatan Autonomi (Autonomous Defect Classification), iaitu sistem yang memanfaatkan AI bagi mengautomasikan proses saringan kecacatan produk.
Selain itu, beliau juga menggunakan alatan AI generatif untuk memendekkan tempoh pembelajaran, termasuk ketika membangunkan papan pemuka (dashboard) Power BI.
Namun, peranan AI di sini bukan sekadar mengejar kepantasan semata-mata.
Nilai sebenar teknologi tersebut terletak pada keupayaannya membolehkan warga kerja belajar, bereksperimen dan berkongsi pengetahuan, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai individu untuk menyumbang kepada inovasi.
Pembangunan diri Kevin tidak hanya terhad kepada tugasan kejuruteraan harian, malah merangkumi penulisan kertas teknikal, kerjasama penyelidikan serta penyertaan dalam persidangan, di samping kepimpinannya dalam inisiatif kumpulan sumber pekerja Mosaic.
Beliau juga menghargai pendekatan Micron yang menawarkan laluan kerjaya sama ada ke arah pengurusan mahupun teknikal, membolehkan pakar teknikal terus maju tanpa perlu meninggalkan bidang kerja yang mereka minati.
“Masih terlalu banyak perkara yang ingin saya terokai.
“Saya seronok menyelesaikan masalah teknikal, lebih-lebih lagi apabila AI kini membuka cara kerja yang baharu. Ke hadapan nanti, saya mahu terus mencabar diri dengan tugasan yang lebih besar sambil kekal dekat dengan kerja teknikal yang menjadi minat saya.
“Justeru, nasihat saya kepada graduan baharu atau mereka yang masih belajar, kadangkala kita tidak tahu apa yang benar-benar kita minati sehinggalah kita mencubanya sendiri.
“Berilah peluang kepada diri untuk meneroka kerana dari situlah kita akan menemui keserasian.
“Hakikatnya, minat dan kesesuaian diri sering ditemui melalui tindakan, bukan sekadar memikirkannya,” katanya.
Melabur untuk warga kerja, di dalam dan luar kerjaya
Biarpun bermula dari cabang berbeza, kisah Nor Shamim dan Kevin membawa satu mesej yang selari iaitu apabila teknologi bergerak maju, tenaga kerja juga perlu diberi peluang untuk melangkah seiring dengannya.
Di Micron Malaysia, pelaburan terhadap modal insan ini merangkumi aspek yang jauh lebih luas daripada sekadar pembangunan kemahiran dan kerjaya.
Menerusi pendekatan Total Rewards, syarikat ini memberi penekanan terhadap pengiktirafan sumbangan pekerja, penyediaan pampasan yang kompetitif, ganjaran berasaskan prestasi serta peluang kepada ahli pasukan yang layak untuk berkongsi pertumbuhan jangka panjang syarikat.
Inisiatif ini mencerminkan prinsip asas bahawa apabila warga kerja menyumbang kepada kejayaan syarikat, mereka wajar diberi peluang yang bermakna untuk turut sama menikmati hasilnya.
Pada masa sama, sokongan terhadap kesejahteraan pekerja dalam pelbagai dimensi kehidupan turut diberi keutamaan.
Pendekatan kesejahteraan Micron merangkumi aspek fizikal, mental, sosial, kerjaya dan kewangan bagi menyokong warga kerja secara holistik.
Di Malaysia, usaha ini diterjemahkan melalui perlindungan kesihatan dan perubatan, subsidi makanan, perkhidmatan kaunseling sulit, sumber advokasi ahli pasukan serta penambahbaikan berterusan terhadap kemudahan dan persekitaran tempat kerja.
Kesemua inisiatif ini bergerak seiring dengan pelaburan berterusan dalam pembelajaran dan pembangunan, bermula daripada peningkatan kemahiran AI sehinggalah kepada program khusus untuk graduan dan pemimpin masa hadapan.
Secara keseluruhannya, langkah ini bukan sahaja mempersiapkan warga kerja untuk teknologi hari esok, malah mewujudkan ekosistem yang menyokong mereka untuk membina kerjaya yang bermakna.
Melangkah ke hadapan secara bersama
Industri semikonduktor pastinya akan terus berevolusi dengan tahap automasi yang semakin canggih.
Kehadiran AI pula akan mengubah cara sesuatu masalah diselesaikan, manakala teknologi memori dan storan yang menyokong era berkenaan akan terus berkembang pesat.
Namun demikian, perjalanan kerjaya Nor Shamim dan Kevin jelas membuktikan bahawa kemajuan teknologi sebenarnya bertitik tolak daripada keupayaan manusia itu sendiri.
Biarpun laluan permulaan mereka berbeza, kedua-duanya berkongsi semangat yang sama untuk terus belajar, menyumbang dan maju ke hadapan.
Hakikatnya, apabila teknologi terus berkembang, warga kerjanya juga melangkah seiring sekali gus menjadi pemacu utama masa depan Micron Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd