Lumajang, Indonesia: Seorang wanita melepaskan kemarahan terhadap suaminya dengan cara lebih kejam apabila membunuh anak perempuan mereka yang baru berusia dua tahun.
Baca juga: Loji solar terapung pulau Tioman diteliti, aspek ekologi diutamakan
Kejadian dilapor berlaku di daerah Pronojiwo, wilayah Lumajang, Jawa Timur, Isnin lalu.
Susulan kejadian polis menahan wanita berkenaan yang berusia 41 tahun.
Ketua Polis Lumajang, AKBP Riki Yariandi berkata, suspek melakukan tindakan ganas tersebut dalam keadaan sedar, disyaki dikuasai amarah selepas bertengkar dengan suaminya akibat masalah rumah tangga.
“Motif utama suspek sememangnya masalah keluarga. Pertikaian dan pertengkaran yang berlaku sebelum itu mungkin menyebabkan suspek marah terhadap suaminya, lalu melampiaskan kekecewaan tersebut kepada anaknya sendiri,” katanya yang dilapor Tribunnews.
Menurutnya lagi, suspek yang juga ibu lima anak melakukan perbuatan itu ketika ahli keluarganya sedang tidur.
Dia didakwa membawa anak bongsunya ke tempat mencuci pinggan, sebelum merendam mangsa di dalam baldi berisi air selama satu jam setengah sehingga lemas.
Kekejamannya disedari anak lain yang terjaga daripada tidur dan menjerit kuat hingga didengari jiran.
Polis merampas beberapa bahan bukti termasuk pakaian mangsa dan sebuah baldi dan mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Bhayangkara Lumajang.
Suspek didakwa mengikut Perkara 80(3) dan (4) Undang-Undang Republik Indonesia Nombor 35 Tahun 2014 berkaitan Perlindungan Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Hukuman itu boleh ditambah satu pertiga daripada tempoh asal kerana suspek ialah ibu kandung mangsa, menurut kenyataan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd