syafiq.aznan@bh.com.my
Baca juga: Wei Chong-Kai Wun singkir beregu elit Denmark
Kuala Lumpur: Penjaga gol Kelantan Red Warrior (KRW) FC, Amin Faisal Saidi enggan menjadikan rekod bolos tinggi pasukannya sebagai alasan untuk terus hilang motivasi, sebaliknya menganggap sebagai cabaran buat dirinya terus bangkit mengharungi saingan Liga Super musim ini.
Turun beraksi dalam lima daripada enam perlawanan liga musim ini termasuklah satu aksi di Piala FA, pemain berusia 29 tahun ini melepaskan 28 gol tanpa memenangi sebarang aksi setakat ini.
Ini sudah tentu menghadirkan tekanan cukup besar kepadanya dalam menggalas tanggungjawab sebagai benteng terakhir skuad Pantai Timur itu, namun ia tidak menjadi penghalang kepada Amin untuk terus bekerja keras memastikan pasukan mampu memberikan saingan di sebalik kekangan yang ada.
KRW FC yang beraksi dalam kempen sulung Liga Super musim ini tampak masih dalam proses menyesuaikan diri dengan tahap persaingan lebih tinggi termasuk berdepan lawan yang memiliki kelebihan dari segi pengalaman dan fizikal pemain.
“Sekarang kita cuba sedaya upaya untuk menggunakan corak permainan yang diterapkan jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) daripada segi perubahan taktikal dan beliau mahu kami terus ada sikap semangat juang di atas padang.
“Sebagai benteng akhir pasukan, saya tahu ia bukan mudah apatah lagi kelab ini hanya boleh menggunakan pemain sedia ada sahaja ditambah ada pemain yang mengalami kecederaan. Malah pemain yang cedera pun terpaksa bermain kerana tiada pilihan.
“Tetapi apa pun, banyak yang saya belajar dan boleh dikatakan ini adalah fasa paling mencabar dalam karier saya dengan bolos banyak gol dan saya katakan kepada diri saya sendiri, tidak kira susah macam mana pun, saya tidak boleh putus asa dan kena terus berjuang untuk membantu kelab ini sehingga akhir musim,” katanya.
Bakal menerima kunjungan Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam esok, Amin sedar KRW FC berdepan tugas mencabar apatah lagi lawannya kini sekurang-kurangnya sudah merekodkan tiga kemenangan setakat ini, berbanding tuan rumah yang masih tercari-cari kemenangan pertama dalam kempen Liga Super.
Namun, persiapan rapi sudah dilakukan ketika rehat Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini selain turut meneliti corak permainan Sabah FC, termasuk mengenal pasti ancaman penyerang, Gonzalo Di Renzo yang dilihat antara pemain berbahaya kepada barisan pertahanan mereka.
“Selepas lawan Star City, kita ada banyak masa untuk melihat semula kelemahan pasukan, belajar kekuatan dan kelemahan Sabah FC sebab kita tahu mereka ada pemain import nombor 7 (Di Renzo) yang ada fizikal bagus dan harus berjaga-jaga.
“Apa pun, kita tetap positif, cuba sebaik mungkin untuk perbaiki daripada segala aspek dan harap semuanya akan berjalan seperti yang dirancang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd