BATU PAHAT: Pekerja kedai makan yang disyaki memperkosa remaja perempuan berusia 15 tahun sehingga hamil sebelum menanam janin digugurkan mangsa di belakang rumah, disambung reman enam hari lagi oleh Mahkamah Majistret, di sini.
Baca juga: Suami Orang Dicekup Berkhalwat Dengan Wanita Bujang Di Rumah Sewa
Perintah sambung reman terhadap suspek berusia 22 tahun itu dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman selepas tempoh reman terdahulu berakhir hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan perbuatan suspek bersama kenalan perempuan bawah umur menanam janin yang digugurkan di belakang rumah terbongkar selepas remaja terbabit mengalami sakit perut dan mendapatkan rawatan di hospital.
Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku menjalin hubungan dengan remaja terbabit sehingga mangsa disahkan hamil.
Difahamkan selepas menyedari mangsa hamil, suspek membeli pil menggugurkan kandungan menerusi media sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 316 kanun sama kerana menyebabkan kematian anak dalam kandungan.
© New Straits Times Press (M) Bhd