PETALING JAYA: Kejohanan Ekuestrian Sultan Selangor 2026 bakal menjadi antara acara istimewa sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor apabila berlangsung selama tiga hari di Selangor Royal Polo & Equestrian Club, Cyberjaya, bermula 27 hingg 29 November ini.
Lebih istimewa, penganjuran itu turut memperkenalkan Selangor Royal Polo & Equestrian Club, Cyberjaya, yang mula dibuka sekitar Ogos lalu sebagai lokasi pertandingan dan aktiviti sukan berkuda, sekali gus membuka ruang kepada fasiliti baharu itu untuk terus berkembang sebagai pusat ekuestrian.
Baca juga: Sindiket edar dadah RM4.83 juta: 5 pegawai, 2 anggota TUDM ditahan
Kejohanan berkenaan akan mempertandingkan dua disiplin utama iaitu Show Jumping (lompat halangan) dan Dressage (seni tunggang kuda), yang memerlukan kemahiran, ketepatan, disiplin serta keserasian tinggi antara penunggang dan kuda.
Penganjuran itu mendapat sokongan Menteri Besar Selangor (Incorporation) selaku penaja utama, selain disokong 10 rakan penaja iaitu Pintas Utama, PNSB, Ranhill Utilities Berhad, Kenanga Investors Berhad, Cypark, Arisz Langkawi Gateway, Worldwide Holdings Berhad, MSN Selangor, Royal Selangor, Valiram dan Godiva.
Royal Selangor turut menjadi rakan rasmi kejohanan yang dianjurkan Royal Selangor Polo & Equestrian Club dengan kerjasama OH RIA Fest Management, bagi menyokong usaha memperkukuh pembangunan sukan ekuestrian dan menjayakan acara berkenaan.
Selain pertandingan, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti sampingan termasuk gerai makanan dan minuman, menunggang kuda poni menerusi aktiviti Fun Ride untuk kanak-kanak serta lukisan muka, sekali gus menjadikan kejohanan itu sebagai acara mesra keluarga.
Dengan kemasukan percuma, kejohanan yang berlangsung dari 8 pagi hingga 6 petang itu bukan sahaja bertujuan mengetengahkan bakat penunggang tempatan dan menarik minat generasi muda terhadap sukan berkuda, malah dirancang untuk diteruskan sebagai acara tahunan bagi memperkukuh ekosistem ekuestrian di Selangor dan Malaysia. – UTUSAN
The post Cyberjaya bakal gegar dengan aksi ekuestrian appeared first on Utusan Malaysia.