LATEST

Ismail Lasim perlu buktikan dapat sokongan majoriti ADUN

Ismail Lasim perlu buktikan dapat sokongan majoriti ADUN

am@hmetro.com.my

Baca juga: Ismail perlu buktikan sokongan majoriti ADUN

Seremban: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim perlu mendapatkan sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) jika mahu memastikan beliau kekal memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa Istana mahu Ismail kekal sebagai Menteri Besar memandangkan beliau sendiri menegaskan tidak meletakkan jawatan.

Katanya, pihak Istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan Perlembagaan.

“Seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan pada 17 November lalu, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Namun pihak Istana belum mengesahkan surat tersebut (peletakan jawatan),” katanya.

Beliau berkata, dalam majlis menghadap baginda hari ini yang turut dihadiri oleh Datuk-Datuk Undang, Ismail telah menyatakan bahawa beliau tidak mengemukakan surat berkenaan dan tidak bersetuju surat itu dikemukakan.

Dalam pada itu, Azizi berkata, Ismail perlu mengemukakan senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) untuk pertimbangan Tuanku Muhriz.

“Setelah perkara ini disempurnakan, tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri dan pembentangan Belanjawan Negeri akan ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Tuanku berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Tuanku Muhriz menitahkan supaya Ismail kekal sebagai Menteri Besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news