LATEST
National

Mahkamah Syariah batal saman ibu mentua, abang ipar tuntut hibah RM1 juta

Mahkamah Syariah batal saman ibu mentua, abang ipar tuntut hibah RM1 juta

PUTRAJAYA: Pertikaian berhubung manfaat hibah bersyarat takaful bernilai lebih RM1 juta membabitkan balu dan keluarga mentuanya hanya boleh ditentukan di Mahkamah Tinggi Sivil selepas Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada 21 Ogos 2025, di sini hari ini membenarkan permohonan bantahan awal wanita itu.

Baca juga: Makanan Hospital Kerajaan Sedap? Netizen Kongsi Pengalaman

Hakim Syarie Mamat Haizan Salleh, dalam penghakimannya membatalkan saman yang difailkan ibu mentua dan abang ipar wanita berkenaan pada 21 Ogos tahun lalu, selain memerintahkan kos prosiding sebanyak RM10,000 diawardkan kepada balu terbabit.

Susulan keputusan itu, pertikaian berkaitan manfaat hibah berkenaan kini diteruskan melalui prosiding di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur yang dijadualkan untuk pendengaran pada 15 Januari tahun depan.

Kes itu membabitkan balu kepada Allahyarham Mohd Aswan Hamid, Sazila Sabri sebagai pemohon, manakala dua ahli keluarga arwah suaminya iaitu ibu kandung, Saminah Mahroji dan abang kandung, Sukarman Hamid dinamakan sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam prosiding sama, Mamat Haizan turut menolak permohonan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk diterima sebagai pencelah dalam kes berkenaan, meskipun mengakui permohonan itu tidak bersifat sia-sia dan dibuat dengan niat murni.

BNM sebelum ini menjelaskan pihaknya tidak mewakili mana-mana pihak, sebaliknya memohon untuk mencelah bagi membantu mahkamah dalam isu perundangan berkaitan kewangan Islam.

Pada prosiding hari ini, Sazila diwakili peguam syarie Amirul Ashraf Abd Ghani dan Muhammad Al-Khusairi Md Danial, manakala Saminah dan Sukarman diwakili Datuk Akberdin Abdul Kader bersama ‘Izzah Shakirah Mohd Sukor, sementara BNM diwakili peguam Tarmizi Abdullah.

Berdasarkan dokumen permohonan bantahan awal yang difailkan secara bertulis pada 24 Oktober 2025, Allahyarham Mohd Aswan semasa hayatnya mencarum satu produk takaful di bawah AIA PUBLIC Takaful Berhad dan menamakan Sazila selaku isterinya sebagai penerima manfaat (beneficiary) di bawah hibah bersyarat berjumlah RM1,006,216.49.

Bagaimanapun, susulan ketidakpuasan hati terhadap penerimaan manfaat itu, Saminah dan Sukarman selaku plaintif memfailkan tuntutan pengesahan hibah takaful di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada 21 Ogos 2025.

Dalam bantahan awalnya, pihak pemohon membangkitkan empat alasan utama bagi membatalkan saman itu, antaranya Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya tidak mempunyai bidang kuasa memutuskan kes berkenaan memandangkan manfaat hibah bersyarat takaful dikategorikan sebagai perniagaan kewangan Islam (Islamic Financial Business) di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang perlu dibangkitkan di mahkamah sivil sekiranya berlaku pertikaian.

Selain itu, peguam syarie Amirul Ashraf yang mewakili Sazila menghujahkan mahkamah di sini tidak mempunyai bidang kuasa kerana kedua-dua ahli waris iaitu ibu bapa si mati bermastautin di Selangor, di samping menegaskan Sukarman bukanlah ahli waris kepada Allahyarham Mohd Aswan dan semua ahli waris lain tidak dijadikan pihak dalam tuntutan berkenaan.

Bantahan itu turut menyentuh dakwaan bahawa pernyataan tuntutan plaintif mengemukakan naratif serta peruntukan undang-undang yang tidak berkaitan sehingga boleh mengelirukan mahkamah.

Sementara itu, Akberdin yang mewakili plaintif berhujah harta itu bukan hibah, maka ia perlu terbatal dan tidak sah kerana tidak memenuhi rukun-rukun dan syarat sah hibah menurut hukum syarak.

Katanya, mahkamah perlu memerintahkan sebarang transaksi yang wujud pada ketika itu terbatal atau dihentikan serta-merta, selain memohon manfaat takaful terbabit dijadikan sebahagian daripada harta pusaka arwah Mohd Aswan untuk dibahagikan kepada waris-waris si mati mengikut hukum faraid.

Pada tahun lalu, kes itu mencuri perhatian umum selepas keluarga arwah memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil bagi mencabar hibah bersyarat itu yang menyaksikan mahkamah sivil memutuskan hibah berkenaan tidak sah dari sudut undang-undang sivil serta mengarahkan wang RM1 juta itu diagihkan mengikut hukum faraid.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news