am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sempena cuti persekolahan yang bakal bermula, kebanyakan ibu bapa sudah membuat persediaan awal untuk mengelakkan bebanan kewangan luar jangka.
Baca juga: Mahkamah Syariah batal saman ibu mentua, abang ipar tuntut hibah RM1 juta
Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati ramai ibu bapa sudah mula berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian serta menabung bagi membeli keperluan persekolahan tidak lama lagi.
Penyelaras latihan, Amyzulianna Lanahon, 49, berkata, dia sekeluarga sudah merancang segala perbelanjaan sepanjang musim cuti sekolah untuk mengelakkan masalah apabila sesi persekolahan bermula semula.
“Kebiasaannya, pada musim cuti sekolah ini kami perlu mula merancang perbelanjaan dari awal sebab persiapan buka sekolah juga perlu diambil kira.
“Jadi kami sekeluarga akan lebih berjimat dan mengutamakan perkara yang lebih penting dahulu untuk mengelakkan bebanan kewangan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia tidak akan membeli keperluan persekolahan sekiranya barangan berkenaan masih dalam keadaan baik untuk mengelakkan pembaziran.
“Saya biasanya akan melihat dahulu barangan yang masih elok dan boleh dipakai. Sekiranya baju, kasut atau beg sekolah dalam keadaan yang baik, jadi kami tidak perlu membeli yang baharu,” katanya.
Bagi pemandu p-hailing, Wan Mohd Na’im Wan Mohamed Fathil, 39, kos perbelanjaan tahun ini berbeza daripada tahun lalu menyebabkan mereka sekeluarga perlu merancang dengan cermat.
“Kalau dibandingkan dengan tahun lalu, kos perbelanjaan tahun ini semakin meningkat terutama barangan keperluan harian, makanan serta kelengkapan sekolah.
“Jadi kami sekeluarga perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan,” katanya.
Mohd Na’im berkata, dia dan isteri, Nor Jannah Reza akan mengelakkan pembelian yang tidak diperlukan dan memilih memasak di rumah.
“Kami lebih suka memasak di rumah kerana dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga,” katanya.
Sementara itu, peniaga, Rohaya Abdul Halim, 53, berkata, musim hujan memberi kesan kepada hasil jualannya, jadi dia mengambil keputusan berjimat sepanjang musim cuti sekolah ini.
“Pada musim hujan, jualan agak kurang memberangsangkan. Jadi saya akan selalu membawa balik makanan dari kedai atau masak di rumah selepas pulang dari berniaga.
“Saya juga akan membeli barangan keperluan yang penting sahaja,” katanya.
Rohaya yang mempunyai dua anak masih bersekolah berkata, dia sudah mula menyimpan duit untuk membeli barangan persekolahan serta sebagai tabung kecemasan.
“Untuk barangan persekolahan, saya ada menyimpan sedikit duit perbelanjaan untuk pembukaan sekolah kelak. Saya juga ada menabung sebagai duit kecemasan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd