LATEST

Baki pemberian khas RM900 juta kepada Sabah mesti dibayar sebelum sidang DUN

Baki pemberian khas RM900 juta kepada Sabah mesti dibayar sebelum sidang DUN

am@hmetro.com.my

Baca juga: Cyberjaya bakal gegar dengan aksi ekuestrian

Kota Kinabalu: Pakatan Harapan (PH) Sabah mahu baki pemberian khas interim sebanyak RM900 juta kepada Sabah dibayar kepada kerajaan negeri sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual bermula 4 Disember depan.

Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata bayaran itu penting supaya ia boleh dimasukkan ke dalam akaun hasil kerajaan negeri bagi melaksanakan program yang dirancang pada tahun depan.

Katanya, beliau sudah menyampaikan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan supaya mempercepatkan pewartaan bayaran pemberian khas berkenaan.

“Kita mahu bayaran pemberian khas interim berkaitan hak 40 peratus Sabah yang ditingkatkan kepada RM1.5 bilion dengan sebanyak RM600 juta sudah diwartakan, dibayar sepenuhnya menerusi pewartaan baki RM900 juta lagi.

“Ini jumlah yang belum diwarta dan kita mahu pembayaran dibuat sebelum sidang DUN pada Disember depan.

“Saya sendiri sampaikan perkara ini kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk melunaskan segera supaya boleh dimasuk dalam hasil negeri tahun depan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PH Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi AMANAH Sabah, Datuk Lahirul Latigu; Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin dan Setiausaha PH Sabah, Datuk Ruji Ubi.

Mustapha yang juga Pengerusi PKR Sabah, berkata isu bayaran baki pemberian khas adalah antara perkara utama yang dibincangkan pada mesyuarat pertama PH Sabah itu selepas Mesyuarat Agung Tahunan gabungan itu pada Jun lalu.

Di bawah perkara sama, katanya PH Sabah juga mahu supaya bayaran pemberian khas kepada Sabah selepas ini dibuat secara progresif, berbanding jumlah yang mendatar ketika ini.

“Kita cadangkan untuk perundingan akan datang, apabila sampai kepada jumlah tertentu yang saya fikir akan meningkat, kita mahu pembayaran itu mesti dibuat secara progresif, berbanding sekarang ini mendatar.

“Kita cadangkan mulai tahun depan ada nilai progresif interim, maknanya setiap tahun meningkat berdasarkan nilai hasil agensi Persekutuan di Sabah.

“Kita mahu kerajaan negeri berunding dengan kerajaan Pusat mengenai nilai yang dipersetujui bersama sehingga kita dapat nilai sebenar hak kelayakan 40 peratus hasil Sabah,” katanya.

Sementara itu, Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), berkata mesyuarat PH Sabah hari ini turut membincangkan perkembangan isu penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news