am@hmetro.com.my
Baca juga: Banjir Kilat Di Shah Alam, Puncak Alam Dikaitkan Bukit Ditarah
Shah Alam: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah untuk menghentikan tugas dan menarik kelulusan kebenaran merancang (KM) sekiranya projek pembangunan termasuk infrastruktur tidak mematuhi syarat penyediaan kolam takungan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia sebagai langkah mengatasi kejadian banjir di Selangor.
“Arahan terbaharu saya kepada pihak PBT adalah melakukan siasatan dan inventori kepada semua projek pembangunan.
“Baik projek jalan, perbandaran perumahan baharu, sekolah atau kemudahan awam mesti memberi manfaat kepada penduduk.
“Aspek banjir akan dijadikan penekanan penting supaya tak ada masalah baharu.
“Kalau tak penuhi syarat kolam takungan dan tak buat penyelenggaraan tersusun, kolam berkeladak, saya arahkan untuk henti tugas dan boleh tarik balik kebenaran merancang.
“Kita tidak mahu ia jejaskan pembangunan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Sebelum ini, Amirudin mengarahkan kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta sementara pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dinilai semula susulan kejadian banjir yang melanda kawasan terbabit awal bulan ini.
Beliau dipetik berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai langkah memastikan aspek keselamatan rakyat diberi keutamaan, khususnya di kawasan yang berdepan risiko banjir.
Sementara itu, beliau berkata, perbincangan bulanan akan diadakan antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan PBT sebagai langkah mengekang kejadian banjir.
Katanya, faktor komunikasi dikenal pasti menjadi punca utama masalah terbabit, justeru ia menjadi keutamaan pentadbiran bagi membolehkan penyelarasan dibuat di setiap peringkat.
“Sebab itu saya ingin tukar rentak dengan mengetengahkan isu banjir harus ditangani dan menjadi keutamaan pada hari ini.
“Dalam masa sama, Pandan Indah (EXCO Infrastruktur, Datuk Izham Hashim) akan memantau projek, saya secara komitmen akan mengadakan pertemuan setiap bulan.
“Ini membabitkan keseluruhan pihak termasuk JPS dan PBT, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis dan Yang Dipertua supaya kita dapat tangani banjir ini secara menyeluruh.
“Selepas ini, saya akan cuba setiap bulan untuk lihat papan pemuka banjir dan kemas kini.
“Saya akan panggil semua agensi malah jika perlukan kelulusan segera, saya akan panggil Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk kelulusan,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan, isu peruntukan dan dana bukan menjadi faktor utama masalah banjir tidak dapat diselesaikan kerana pihaknya sudah menggunakan sejumlah wang selain peruntukan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Ini bukan soal peruntukan atau wang tapi bagaimana cara kita bekerja. Maknanya duit, wang bukan isu besar walaupun diperkatakan di peringkat akar umbi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd