SoalanSaya sudah bertunang dengan seorang wanita dan ketika bertunang, keluarganya masih belum menetapkan wang hantaran. Selepas perbincangan antara keluarga tunang, mereka menetapkan hantaran sebanyak RM30,000. Apakah wajib saya memenuhinya?JawapanPerlu diingatkan wang hantaran dan mas kahwin atau mahar itu dua perkara yang berbeza. Dalam Islam, apa yang diwajibkan ialah mas kahwin manakala wang hantaran pula berbeza hukumnya.Wang hantaran merupakan adat atau amalan masyarakat Melayu yang lazimnya diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan untuk perkahwinan.Oleh itu, hanya mas kahwin yang diwajibkan syarak dan ia bukanlah tertakluk kepada wang tunai semata-mata memandangkan sahabat Rasulullah SAW pernah menjadikan hafalan al-Quran sebagai mas kahwin.Jumlah mas kahwin juga tidak ditetapkan dalam Islam, namun amalan di Malaysia berbeza apabila Majlis Agama Islam Negeri telah menetapkan jumlah tertentu sebagai mas kahwin.Wang hantaran pula bersifat persetujuan kedua-dua pihak. Jika jumlah yang ditetapkan pihak perempuan tidak dipersetujui, maka tidak menjadi kewajipan untuk pihak lelaki menunaikannya.Bagaimanapun, terdapat juga negeri-negeri di Malaysia yang menjadikan wang hantaran tersebut kepada mas kahwin. Ini bermakna wang hantaran yang diberikan kepada pengantin perempuan mempunyai kedudukan sebagai mas kahwin dan ia menjadi hak isteri.Berbalik kepada persoalan di atas, jika wang hantaran sebanyak RM30,000 tersebut dirasakan sangat tinggi, maka berbincanglah dengan pihak keluarga perempuan sehingga mencapai satu amaun yang dirasakan mampu oleh pihak lelaki.Sebaliknya jika sudah dipersetujui jumlah RM30,000 itu, maka sewajarnya menghormati persetujuan dan janji yang telah dibuat serta wajiblah menyediakannya.Perkahwinan sepatutnya dibina atas dasar keredaan, persefahaman dan tolak ansur, bukannya dibebani tuntutan kewangan sehingga menyukarkan pasangan untuk mendirikan rumah tangga.Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik pernikahan ialah yang paling mudah maharnya.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Hantaran tinggi macam nak jual anak
Malay News | https://www.malay.news/hantaran-tinggi-macam-nak-jual-anak/