am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes bunuh di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, minggu lalu diberkas polis di Jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau, pagi tadi.
Suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 11 pagi selepas hampir seminggu diburu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.
“Pasukan polis dari IPD Kota Kinabalu akan ke Tawau bagi urusan membawa suspek ke Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Sementara itu, video penahanan suspek turut tular di media sosial yang memaparkan lelaki terbabit diberkas anggota polis di kawasan jeti berkenaan.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi Sabtu lalu, mangsa, Mohd Soberi Bakri, 31, maut selepas ditikam di dada dalam kejadian di tingkat satu bangunan Sulaman Sentral.
Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan seorang penjual makanan di sebuah kafe berhampiran lokasi kejadian.
Suspek yang dipercayai tidak berpuas hati dengan penjual makanan terbabit dikatakan bertindak mengejarnya menggunakan sebilah pisau sebelum mangsa cuba meleraikan pertelingkahan berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa menjadi sasaran apabila ditikam di dada sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd