LATEST
World News

Saintis kemuka teori baharu punca alahan

Saintis kemuka teori baharu punca alahan

SYDNEY – Saintis mencadangkan bahawa alahan mungkin berpunca daripada kegagalan tenaga dalam sel penghalang tubuh yang melapisi kulit, usus, hidung, paru-paru dan esofagus dan bukannya sistem imun seperti yang dipercayai sebelum ini, lapor Xinhua.Alahan mungkin bermula apabila mitokondria dalam sel epitelium yang membentuk lapisan penghalang tubuh, gagal memenuhi keperluan tenaga dan tekanan akibat persekitaran moden.Keadaan ini menyebabkan sel berkenaan mencetuskan tindak balas imun dengan terlalu mudah, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Griffith di Australia pada Jumaat.”Selama 60 tahun, kita mengajar bahawa alahan bermula daripada sistem imun dan kerosakan pada lapisan penghalang berlaku sebagai kesannya. Namun, kajian kami mencadangkan bahawa keadaan sebaliknya mungkin berlaku,” kata penulis utama kajian itu, Profesor Peter Smith, seorang pakar imunologi klinikal di Universiti Griffith.Penyelidik menganalisis sejumlah besar data berkaitan alahan yang merangkumi 116 kohort kajian kes-kawalan, 3,776 pesakit dan 2,164 kohort.Bukti paling kukuh ditemui dalam kes eosinophilic oesophagitis iaitu penyakit alahan yang menyerang esofagus apabila proses penyingkiran mitokondria yang rosak didapati berkurangan dalam kesemua 13 kohort pesakit bebas yang dikaji.Penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Allergy itu menunjukkan bahawa pelbagai faktor pencetus, termasuk pengambilan makanan terproses, pencemaran, mikroplastik, bahan pencuci, kekurangan serat dalam diet dan penggunaan antibiotik pada peringkat awal kehidupan, mungkin menjejaskan keupayaan tenaga sel penghalang tubuh.Penemuan itu berpotensi menjelaskan mengapa alahan sering berulang selepas rawatan dihentikan, memandangkan ubat-ubatan sedia ada menyasarkan keradangan pada peringkat hiliran dan bukannya punca asas penyakit itu, menurut penyelidik.Mereka berkata, langkah seterusnya adalah mengkaji sel penghalang tubuh dalam kalangan bayi sebelum alahan mula berkembang.- Bernama   

More in World News

View all

Latest news