GANDHINAGAR – Seorang wanita sanggup menyembunyikan kehamilannya daripada keluarga dengan mendakwa mengalami ketumbuhan pada bahagian perut sebelum dia dan kekasihnya dipercayai membunuh bayi perempuan yang dilahirkannya di Gujarat, India.Lebih mengejutkan, bayi berkenaan dipercayai dicekik lelaki berusia 32 tahun itu beberapa jam selepas dilahirkan sebelum ditinggalkan di dalam sebuah lubang di kawasan tanah ragut.Kejadian itu membawa kepada penahanan Kalpana Solanki, 21, bersama kekasihnya, Kalaji Solanki, 32, yang dipercayai melakukan perbuatan tersebut kerana takut berdepan kecaman masyarakat.Menurut laporan Times Now, Kalpana didakwa tidak mendedahkan kehamilannya kepada keluarga, sebaliknya memberi alasan pembengkakan pada bahagian perutnya berpunca daripada ketumbuhan.Malah, dia dikatakan turut mendapatkan pemeriksaan di hospital bersama lelaki terbabit, namun memberitahu keluarganya bahawa rawatan itu berkaitan masalah ketumbuhan berkenaan.Siasatan mendapati Kalpana sudah berkahwin kira-kira empat tahun lalu, namun tinggal di rumah keluarganya sejak setahun setengah lalu selepas tidak lagi menetap bersama suaminya.Dalam tempoh berkenaan, dia dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan jirannya, Kalaji sehingga hamil.Menurut siasatan polis, Kalpana mengalami sakit hendak bersalin pada malam 13 November lalu sebelum pergi ke kawasan lapang di belakang rumahnya dengan alasan mahu menggunakan tandas.Dia kemudian melahirkan bayi perempuan secara normal dengan Kalaji dipercayai berada di lokasi kejadian.Polis berkata, pasangan itu dikatakan berbincang sama ada mahu membesarkan bayi berkenaan atau meninggalkannya sebelum Kalaji dipercayai mencekik bayi itu dan meninggalkannya di lokasi berkenaan kerana menyangka mangsa sudah meninggal dunia.Perbuatan itu terbongkar pada pagi 14 November apabila dua wanita menemui bayi berkenaan di dalam sebuah lubang di kawasan tanah ragut berhampiran Ramajina Muvada, dalam lingkungan kampung Anguthala.Bayi yang dipercayai berusia kira-kira sehari itu ditemukan masih hidup sebelum dibawa ke Hospital Awam Gandhinagar untuk mendapatkan rawatan.Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam pada hari sama ketika menerima rawatan.Laporan bedah siasat mengesahkan kematian bayi itu berpunca daripada sesak nafas akibat dicekik.Polis berkata, siasatan dijalankan selepas penemuan bayi berkenaan membawa kepada pengenalpastian kedua-dua suspek.Polis pada mulanya membuka siasatan mengikut Seksyen 93 Kanun Keseksaan Bharatiya (BNS) berkaitan pengabaian kanak-kanak sebelum kes diklasifikasikan semula sebagai pembunuhan selepas laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian.Kedua-dua suspek kemudian ditahan selepas polis menjalankan siasatan menggunakan maklumat risikan tempatan dan teknikal.Siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan.
Sorok kehamilan kononnya ketumbuhan, bayi dibunuh selepas dilahirkan
Malay News | https://www.malay.news/sorok-kehamilan-kononnya-ketumbuhan-bayi-dibunuh-selepas-dilahirkan/