LATEST

myWaqafPTPTN sinar harapan pelajar

myWaqafPTPTN sinar harapan pelajar

SHAH ALAM – Hasrat untuk menggenggam diploma hampir terkubur apabila kekangan kewangan keluarga menyebabkan seorang pelajar terpaksa mempertimbangkan untuk berhenti belajar dan bekerja sepenuh masa.Bagaimanapun, kehadiran inisiatif myWaqafPTPTN mengubah keadaan apabila bantuan itu bukan sahaja meringankan kos pengajian, malah membantu melunaskan pinjaman pendidikan sekali gus membolehkannya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.Manfaat itu dirasai Nur Dini Hidayah Mohd Nizan, 22, yang sebelum ini terpaksa berjimat sehingga hanya makan sekali sehari bagi mengurangkan beban keluarga.Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, bapanya, Mohd Nizan Murad, 51, bekerja sebagai kakitangan penyelenggaraan hotel dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan,manakala ibunya, Noor Hafizah Yunus, 45, merupakan suri rumah.Menurutnya, keadaan kewangan keluarga yang turut menanggung persekolahan lima adiknya menyebabkan dia perlu mencari pendapatan tambahan dengan bekerja setiap kali cuti semester.”Saya pernah terfikir untuk berhenti belajar dan bekerja sepenuh masa kerana keadaan kewangan keluarga yang tidak mengizinkan.”Ada masanya saya terpaksa berjimat sehingga hanya makan sekali sehari. Saya juga bekerja setiap kali cuti semester untuk mendapatkan duit tambahan bagi menampung perbelanjaan sepanjang belajar,” katanya.Bagaimanapun, Nur Dini berkata, ada seorang pensyarah kemudian memaklumkan mengenai inisiatif myWaqafPTPTN sebelum membantunya menguruskan permohonan bantuan berkenaan.Menurutnya,bantuan itu membolehkannya menyediakan keperluan harian dan pembelajaran dengan lebih baik, selain tidak lagi dibebani kebimbangan mengenai bayaran balik pinjaman PTPTN selepas tamat pengajian.Nur Dini yang kini mengikuti semester keenam Diploma Seni Kulinari di Kolej Komuniti Chenderoh, Perak, bercita-cita menjadi cef dan berharap lebih ramai pelajar yang memerlukan mendapat manfaat sama.myWaqafPTPTN merupakan inisiatif wakaf pendidikan tinggi hasil kerjasama strategik antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi mempelbagaikan sumber pembiayaan pendidikan selain pinjaman sedia ada.Dana wakaf ini disalurkan dalam bentuk biasiswa bagi membantu mahasiswa meneruskan pengajian tanpa dibebani hutang pendidikan.Bantuan ini menyasarkan mahasiswa golongan B40, M40 serta asnaf yang layak menerima pinjaman PTPTN, termasuk pelajar bukan Islam yang memenuhi syarat ditetapkan.Sementara itu, seorang lagi penerima, Amin Nur Rasyid Mohd Salizan, 22, berkata, bantuan berkenaan turut meringankan beban perbelanjaannya sepanjang mengikuti semester kelima Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS).Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, bapanya, Mohd Salizan Abd Samat, 56, bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan lebih RM2,000 sebulan, manakala ibunya, Normawati Yaakop, merupakan suri rumah.Menurutnya, kos makan minum, keperluan pembelajaran dan tempat tinggal sebagai pelajar perantau memerlukan perbelanjaan tinggi sehingga memaksanya berjimat cermat.”Jika tiada bantuan ini, mungkin agak berat untuk saya meneruskan pengajian kerana banyak keperluan perlu disediakan setiap bulan,” katanya.Amin yang bercita-cita menjadi jurutera berharap bantuan itu dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar kurang berkemampuan supaya mereka tidak berputus asa mengejar impian.Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang kerana sumbangan mereka memberi kelegaan kepada pelajar yang berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian.         

Latest news