KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah memohon kerajaan Persekutuan menyegerakan pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak dilaksanakan.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pindaan itu perlu dibawa pada sidang Parlimen tahun depan bagi mengembalikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memperuntukkan satu pertiga kerusi Parlimen kepada wilayah Borneo.
Baca juga: Zahnita Wilson Pandai Masak, Suami Akui Berat Badan Turut Naik
Katanya, walaupun Singapura sudah keluar daripada Malaysia, prinsip satu pertiga perwakilan itu sewajarnya dikekalkan untuk Sabah dan Sarawak.
“PH Sabah memohon supaya kerajaan pusat menyegerakan pindaan Perkara 46 pada sidang Parlimen tahun hadapan.
“Apa yang penting, kita pinda dahulu Perlembagaan Persekutuan. Selepas itu, ia akan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat kajian dan persempadanan semula berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mustapha yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) itu berkata beliau bersama Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak sudah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SPR dan pasukannya bagi membincangkan perkara berkenaan.
Menurutnya, penambahan kerusi itu penting bagi memastikan suara wilayah Borneo mempunyai kekuatan sewajarnya dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan. – UTUSAN
The post PH Sabah gesa kerajaan Persekutuan percepat pindaan Perkara 46 – Mustapha appeared first on Utusan Malaysia.