LATEST

Belia Eropah bersatu bantah kos sara hidup, bajet ketenteraan

Belia Eropah bersatu bantah kos sara hidup, bajet ketenteraan

PARIS: Penunjuk perasaan di seluruh Eropah berhimpun sebagai tanda solidariti merentasi sempadan menerusi demonstrasi serentak membantah peningkatan kos sara hidup, pengukuhan ketenteraan dan pelbagai isu lain bagi meningkatkan tekanan terhadap kerajaan masing-masing.

Selepas beberapa minggu menyaksikan demonstrasi di beberapa negara Eropah, kesatuan sekerja dan aktivis dari Perancis, Britain, Belgium, Sepanyol, Itali, Portugal serta Greece mahu meningkatkan tekanan menerusi perhimpunan serentak bermula Jumaat dan sepanjang hujung minggu ini.

Baca juga: Neymar nafi jalin hubungan dengan bekas kekasih Vinicius

Walaupun ketidakpuasan hati terhadap isu tempatan menjadi pencetus, gerakan yang membawa ratusan ribu orang ke jalanan itu turut disatukan oleh kebimbangan terhadap isu di seluruh benua, termasuk kos perumahan yang semakin meningkat, kemerosotan keadaan pembelajaran, gaji yang tidak berubah serta peningkatan perbelanjaan ketenteraan.

Demonstrasi itu berlangsung ketika pencerobohan Russia ke atas Ukraine menghampiri tahun kelima dan menjelang beberapa pilihan raya penting di Sepanyol, Perancis, Itali serta Greece.

Gabungan diterajui golongan belia berkata, anak muda dari lebih 25 negara dijangka menyertai demonstrasi berkenaan.

“Ia satu acara yang sangat penting untuk memberi ruang kepada suara golongan muda di seluruh negara serta menyuarakan keperluan kami terhadap perubahan menyeluruh dan segera demi masa depan.

“Kami amat percaya terhadap kekuatan suara golongan muda dan kesannya terhadap dunia orang dewasa,” kata Zennor Tyndale-Biscoe, 17, yang merancang menyertai demonstrasi di Truro, barat daya England.

Gabungan diterajui golongan muda itu menggesa transformasi radikal terhadap sistem kehidupan serta menggalakkan anak muda membantah pengukuhan ketenteraan dan ketidakadilan sosial.

“Perjuangkan masa depan kita, bukan peperangan mereka!” demikian gesaan gabungan yang terdiri daripada lebih 50 kumpulan diterajui golongan belia dan pelajar itu.

Antara penganjurnya ialah gerakan Rompi Kuning Perancis, yang pernah mencetuskan gelombang demonstrasi jalanan sehingga menggugat Presiden, Emmanuel Macron pada 2018 dan 2019.

Kesatuan sekerja dan aktivis hak perumahan mengemukakan enam tuntutan utama, termasuk jaminan hak perumahan untuk semua, mengenakan cukai terhadap golongan kaya serta menamatkan dasar persenjataan semula.

Ketika Kesatuan Eropah (EU) berusaha memperkukuh keupayaan ketenteraannya bagi menghadapi ancaman Russia, penganjur demonstrasi berpendapat dana yang diperuntukkan untuk tujuan itu sepatutnya disalurkan kepada pendidikan, dasar pembangunan belia dan perumahan.

Di Jerman, kebimbangan terhadap kemungkinan pengenalan semula khidmat ketenteraan mendorong ramai anak muda menyertai demonstrasi berkenaan. Gabungan GenZ regelt menjangkakan 15,000 orang menyertai demonstrasi di Berlin, selain beberapa tindakan bantahan di puluhan bandar lain.

“Ketika wang dalam jumlah seolah-olah tidak terhad dicurahkan kepada sektor ketenteraan dan infrastruktur yang menyokongnya, negara kebajikan pula sedang dimansuhkan,” kata seorang pelajar yang menyertai demonstrasi di Jerman, Hannes Kramer.

Penganjur berkata, ratusan demonstrasi dan mogok dijangka berlangsung di negara termasuk Portugal, Croatia dan Switzerland, namun skala sebenar penyertaan masih sukar diramalkan.

Di Itali, demonstrasi itu berlangsung serentak dengan mogok umum yang dijangka menjejaskan sektor pengangkutan, sekolah dan hospital, dengan kesatuan sekerja CGIL menyifatkannya sebagai gesaan negara untuk perubahan.

Di Sepanyol, demonstrasi itu berlangsung pada ulang tahun kematian diktator Francisco Franco, dengan perhimpunan golongan muda dijadualkan pada tengah hari manakala demonstrasi antifadisme dirancang pada sebelah malam.-AFP

The post Belia Eropah bersatu bantah kos sara hidup, bajet ketenteraan appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news