KUALA LUMPUR: Beregu wanita meningkat naik negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan mencipta pencapaian bermakna apabila melangkah ke separuh akhir kejohanan bertaraf Super 500 buat kali pertama pada Terbuka Hong Kong, hari ini.
Pasangan ranking ke-41 dunia itu menampilkan semangat juang tinggi apabila menyingkirkan wakil Amerika Syarikat (AS), Francesca Corbett-Jennie Gai 21-19, 16-21, 21-16 dalam aksi suku akhir di Arena Kai Tak.
Kemenangan itu bukan sahaja mengesahkan tempat mereka dalam kelompok empat terbaik, malah menyaksikan pasangan berkenaan mara ke separuh akhir buat kali ketiga musim ini.
Noraqilah mengakui gembira dengan pencapaian itu, terutama kerana ia adalah penampilan pertama mereka di peringkat separuh akhir kejohanan berstatus Super 500.
“Sudah tentu saya sangat gembira kerana ini adalah separuh akhir Super 500 pertama kami. Saya amat bersyukur dapat mencapai keputusan ini,” katanya.
Mengulas kemenangan ke atas pasangan AS itu, Noraqilah berkata mereka sedar berdepan lawan yang cukup kuat dan perlu menyesuaikan corak permainan bagi menghadapi kelebihan fizikal serta ketinggian Jennie Gai.
Sementara itu, Zi Yu berkata mereka berpuas hati dengan prestasi dipamerkan selepas melalui persiapan mencabar menjelang kejohanan itu.
Pada aksi separuh akhir esok, mereka berpeluang mencipta pertemuan sesama negara menentang pilihan kedua, Pearly Tan-M Thinaah, sekiranya gandingan itu menewaskan pasangan AS, Lauren Lam-Allison Lee dalam satu lagi aksi suku akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd