harisfadli@hmetro.com.my
Baca juga: Belia Eropah bersatu bantah kos sara hidup, bajet ketenteraan
Kuala Lumpur: Panik dikejar sekumpulan penunggang motosikal dipercayai punca seorang lelaki memandu trak pikap secara melawan arus di Jalan Raja Laut, di sini, sehingga tular hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kejadian berlaku jam 2.47 pagi hari ini.
“Siasatan awal mendapati kejadian membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun memandu Toyota Hilux yang melawan arus dari arah Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan 1/64D.
“Sekumpulan penunggang motosikal mengejar kenderaan itu sebelum beberapa individu dipercayai memukul kenderaan berkenaan menggunakan topi keledar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, berdasarkan keterangan awal pemandu mendakwa panik sebelum hilang kawalan ketika cuba menyelamatkan diri akibat dikejar.
Katanya, pemandu terbabit juga disyaki melanggar sebuah motosikal sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan itu, pemandu berkenaan mengalami cedera lebam pada muka, badan dan tangan.
“Ujian saringan alkohol dan air kencing pemandu juga menunjukkan keputusan negatif,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial beberapa klip video memaparkan sekumpulan penunggang motosikal mengejar dan menyerang sebuah trak pikap.
© New Straits Times Press (M) Bhd